Pages

January 30, 2011

Matahari VS Bulan

3.00-6.25 PETANG


Hujan renyai – renyai sepanjang jalan menuju Kuala Lumpur membuatkan aku kurang selesa. Titis –titis hujan memenuhi segenap cermin bas. Membentuk seakan-akan manik-manik kecil yang cantik. Aku pula semakin kesejukan di dalam perut bas. Kesejukan yang semakin mencengkam ke tulang. Mungkin kerana cuaca di luar yang semakin dingin. Di tambah pula dengan penghawa dingin yang sengaja di pasang dengan kuat menyebabkan aku menjadi kaku. Perjalanan yang memakan masa selama 3jam ini benar-benar membuatkan aku letih. Letih mengharungi perjalanan yang panjang.mujur, aku membawa novel kegemaranku “ Salina” bersama. Aku isikan masa dengan membaca novel. Penumpang tidak begitu ramai. Ini membuatkan aku aman dan selesa untuk membaca. Kebanyakan penumpang lelap. Mungkin terlena kerana kedinginan cuaca di luar. Ataupun kedinginan Penghawa Dingin. Aku meneruskan pembacaan. Bas meluncur laju menuju ke destinasi. Tanpa di sedari, bas telah pun memasuki Bandaraya Kuala Lumpur. Bergerak menuju ke Hentian Puduraya. Bas bergerak perlahan memasuki hentian Puduraya. Sebaik sahaja bas berhenti,aku bergerak menyusuri penumpang-penumpang lain untuk keluar. Hujan masih lagi renyai. Aku bergegas meninggalkan Puduraya menuju ke MacDonalds yang terletak kira-kira 100 meter dari puduraya. Aku mempercepatkan langkahan. Aku bimbang pakaian akan basah kuyup. Pelanggan tidak begitu ramai ketika aku sampai. Mungkin hujan yang melanda Kuala Lumpur menyebabkan para penghuninya kurang berminat untuk keluar melakukan aktiviti rutin. Mungkin senang duduk di rumah menonton T.V. atau pun keluar menonton wayang.



6.00-7.00 PETANG

Aku memerhatikan kesibukan kota dari dalam. Hari semakin petang. Lampu-lampu neon mula bemergelapan di sekitar kota raya. Kuala Lumpur mula bermandi cahaya. Jam menghampiri 6.45 petang. Pelanggan mula memenuhi segenap pelusuk Restoran segera. Aku masih lagi menantikan kehadiran seseorang.seseorang yang pernah mewarnai hati ini. Seseorang yang pernah menjadi teman dalam mimpi ku. Kerana dia, aku ke kota metropolis ini.. Aku mulai gentar. Jantung mulai berdegup laju. Bimbang mungkin. Bagaimana pandangannya terhadap ku nanti? Inilah pertemuan kali pertama kami setelah 3 tahun tidak bersua semenjak menamatkan pengajian di Universiti dulu. Dan kepalaku ligat berputar memikirkan persoalan dan tanggapan yang bakal timbul dalam pertemuan kali ini. Adakah dia seperti dulu? Sama seperti yang aku kenali dari segi fiil dan sikapnya. Dan segalanya semacam payah untuk difikirkan. Aku membiarkan segala persoalan dan tanggapan yang buruk-buruk itu berlalu pergi. Pergi bersama angin senja yang kian menghambat waktu.

Penantian sememangnya menyakitkan. Aku cuba untuk bersabar semampu yang mungkin. Hati mulai dipaut rasa resah. Mungkinkah pertemuan yang di rancangkan tidak menjadi kenyataan? Aku buangkan segala andaian jauh-jauh. Berfikir secara positif dan logik adalah yang terbaik ketika waktu-waktu begini. Tiba-tiba sahaja telefon bimbit ku berbunyi mematikan lamunan yang sedang memuncak. SMS darinya.

“Maaf aku lambat sikit. Kereta aku ada masalah. Harap kau tak marah. Dalam jam 8.00, aku sampai”. LIZA. Ringkas dan penuh dengan simbolik. Aku menggeleng-geleng kan kepala. Tanda kecewa. Aku cuba untuk menahan rasa kecewa yang kian menebal. Aku mengingati kembali isi SMS yang di hantar pada ku minggu lepas. Liza beria-ia meminta aku untuk datang menemuinya di Kuala Lumpur bertemu di Restoran segera MacDonalds.. Katanya ada ‘perkara besar’ yang ingin di bicarakan. Dan hari ini adalah harinya. Aku tidak ingin memikirkan ‘perkara besar’ yang ingin di sampaikan nanti. Cuma aku kian kecewa dengan sikap Liza. Jam menunjukkan 7.30 petang. Aku segera keluar bergegas ke Puduraya mencari surau. Melaksanakan perintahNYA, tunduk mengagungkan kebesaran dan kehebatanNYA. Aku terasa tenang dan damai jauh di pelusuk hati. Aku benar-benar merasai nikmatNYA.

Selesai solat, aku berdoa memohon di beri kecekalan jiwa agar dapat menghadapi hidup yang serba mencabar. Berharap juga agar pertemuan ini menjadi realiti dan segalanya lancar dengan izin maha Esa. Selesai berdoa, aku kembali ke MacDonalds menantikan Liza. Aku segera teringat kembali kisah silam kami berdua ketika di Universiti dulu. Bagaimana kami kenal, bagaimana kami menjadi kawan baik dan akhirnya aku sendiri jatuh cinta pada Liza. Bagaimana Liza menolak niat hati ku yang murni. Segalanya berputar bagai lembayung. Aku terluka dengan penolakkan Liza terhadap niat suciku. Lebih parah bila mengetahui hatinya kini milik seseorang. Menyembuhkan luka yang tampak di mata terlalu mudah. Tapi untuk menyembuh luka di hati mungkin sukar. Dan itu adalah fakta. Fakta yang tidak mungkin di padamkan kebenarannya. Hakikatnya, aku tidak pernah sembuh dari kelukaan tersebut. Aku mengakui bahawa aku masih punyai perasaan sayang pada Liza. Sama ada Liza menyedari atau tidak, aku tidak pasti. Aku hanya memiliki baying-bayangnya cuma. Tidak pernah sekalipun mampu memiliki hatinya. Dan setiap saat dan tika aku mengharapkan agar ada keajaiban muncul dalam hubungan kami. Tapi aku sedar segalanya adalah mustahil. Keajaiban itu hanya milik maha Esa. Aku sedar hal itu. Liza hanya menganggap aku cuma seorang kawan baiknya. Dan itulah seringkali diucapkan ketika di Universiti dulu. Segalanya tetap sama hingga kini. Dan aku tidak akan sesekali melanggar batasan yang telah ditetapkan oleh Liza. Walaupun, batasan itu membuatkan aku derita.

“Lama dah tunggu?”. Aku terkejut dengan sapaan tersebut.sekaligus mematikan lamunan. Liza tersenyum memandang kearah ku. Liza duduk di depan ku tanpa di pelawa.



8.00-9.00 MALAM

Hujan tetap renyai. Serenyai perasaan aku ketika ini. Cuaca bertambah sejuk di luar. Para pelanggan semakin kurang di dalam restoran. Beberapa meja kelihatan kosong. Di tingkat atas; di mana aku dan Liza berada, Cuma kelihatan sepasang pasangan Cina yang sedang enak menikmati hidangan yang di pesan. Kesenyapan mengigit kejap suasana. Aku membisu. Begitu juga Liza. Mungkin perasaan gementar masih lagi membaluti perasaan.

“ Macam mana perjalanan tadi?” soal Liza. Suasana sunyi mulai berakhir.

“Seronok. Mungkin sebab aku dah lama tak naik bas, aku menikmati setiap perjalan tadi”. Ujar ku. Aku melontarkan senyuman.

“ Maaf pasal terlewat tadi. Kereta ‘buat hal’. Sebenarnya aku nak beritahu lebih awal, tapi aku terlupa. Maaf ya?” Liza memberi penjelasan. Ada raut kekesalan di wajahnya.

“ Tak mengapa, semua itu bukan kehendak kau. Lagipun perkara dah terjadi kan?” Aku cuba menggembirakan hatinya. Ternyata aku berjaya. Wajahnya beransur-ansur ceria. Segaris senyuman mulai terukir di bibirnya yang mugil.

“ Aku tau, kau tak kan ambil hati pasal hal remeh macam ni. Itu sebabnya aku suka kawan dengan kau”, ujar Liza.

“Jadi, apa perkara besar yang kau nak cakapkan pada aku?”. Aku mengerling ke arah Liza. Dia tenang dengan pertanyaan aku. Setenang bulan yang bersinar di malam hari. Tiada reaksi. Aku kaget. Bimbang soalan ku tadi menyentap rasa emosinya.

“ Habiskan hidangan dulu. Aku nak bawa kau pergi ke satu tempat. Mungkin kita boleh berbicara di sana. Tempat ini tidak sesuai untuk perkara sebegitu. Liza bersuara dengan tiba-tiba. Bagaikan ada kuasa yang merasuki,aku patuh tanpa bicara. Segera menghabiskan hidangan yang masih bersisa.

“Ke mana kau nak bawa aku ni?”. Soal ku. Liza mendiamkan diri. Menghabiskan makanan yang masih tinggal. Reaksi Liza itu membuatkan aku tertanya-tanya. Pelbagai-bagai soalan berlegar-legar di kotak minda.



10.00 MALAM- 6.00 PAGI



Bayu laut yang menghembus terasa dingin. Aku terpegun melihat keindahan pantai di malam hari. Cahaya dari tongkang-tongkang kecil milik nelayan berkelip-kelip. Seperti kunang-kunang yang menari-nari di dalam hutan. Aku menikmati keindahan ciptaanNYA dengan rasa syukur dan takjub. Pandangan ku beralih kepada Liza yang berada di sebelah. Ternyata dia juga menikmati keindahan sama seperti mana aku menikmatinya.

“ Hidup ini tidak semudah yang kita sangkakan, betul?”. Liza membuka bicaranya. Sambil itu matanya tidak lepas-lepas memandang ke arah tongkang-togkang kecil di tengah laut. Bicara Liza membuatkan aku tersentak dari lamunan. Aku segera berminat dengan persoalannya.

“ Itulah kehidupan. Tiada apa yang mudah dalam kehidupan. Hidup ini adalah pertembungan antara realiti dan fantasi. Dan selalunya realiti sentiasa melingkari hidup lebih dari fantasi,walaupun ada kalanya fantasi itu indah untuk difikirkan,” aku menjawab dengan tenang. Jawapan yang tidak disangka-sangka itu segera menyentap Liza. Dia berpaling kearah aku. Tersenyum.

“ Sejak bila pula kau pandai berfalsafah tentang kehidupan ni?”. Liza melahirkan rasa kurang senang dengan jawapan aku tadi.

“itu bukan falsafah. Tapi hakikat kehidupan yang mesti di tempuhi oleh setiap manusia,” ujar ku. Liza terdiam dengan kata-kata tersebut. Riak wajahnya seolah-olah mengakui kebenaran kata-kata yang terbit dari bibirku sendiri.

“Kau lihat di sana; tanganku segera menuding ke arah tongkang-tongkang nelayan yang sibuk mencari rezeki di dalam kepekatan malam.

“Mereka juga punyai impian untuk hidup dalam kesenangan. Impian yang serupa seperti orang lain”. Aku berhenti.seraya memandang Liza. Liza kelihatan memberi perhatian pada hujah ku. Dia agak terganggu dengan pandangan ku.

“Teruskan kata-kata kau tu. Aku hairan kenapa kau bersikap skeptikal malam ni?. Kau bukan seperti Zam yang aku kenal selama ni” Ujar Liza. Dia agak hairan dengan sikap ku itu.

“Mereka ada impian dan fantasi sendiri. Mahu hidup mewah, ada banglo besar. Ada kereta dan mampu membahagiakan keluarga. Tapi itu Cuma impian dan fantasi yang tidak mungkin dapat digapai oleh mereka. Dan realitinya, mereka terpaksa menyabung nyawa, mencari penghidupan yang sempurna di mata mereka. Seperti mana sekarang. Aku mengakhiri kataku yang agak panjang.

“Jadi maksudnya, setiap manusia itu punyai cita-cita dan impian seperti yang pernah mereka fantasikan atau fikirkan. Pada akhirnya, kita terpaksa berpijak pada kenyataan walaupun ia tidak seindah dan semanis yang kita sangka. Betul?”. Liza cuba metafsir simbolik dari kata-kata ku. Aku tersenyum.begitu juga Liza.

Angin dari laut terus menerus bertiup lembut di pantai ini. Pantai ini mungkin memberi harapan kepada para penduduknya yang rata-ratanya adalah nelayan. Harapan dalam segala bentuk. Harapan untuk memajukan kehidupan mereka yang serba daif. Harapan agar generasi selepas mereka dapat menyambung perjuangan mereka dalam mencari rezeki di pantai ini. Harapan kepada masyarakat agar menghargai keindahan pantai ini dengan sebaik mungkin. Aku berfikir sendirian. Kerana itu jugalah pantai ini dinamakan Pantai Harapan. Mungkin juga. Siapa tahu. Liza kelihatan leka bermain di gigi air. Lakunya itu membuatkan aku ketawa kecil. Masih lagi keanak-anakkan. Tidak sepadan dengan usianya yang semakin matang. Aku bersantai di dada pasir,tidak jauh dari tempat Liza bermain. Aku segera mendekatinya. Rembulan yang tadi pucat di balik awan, kini bersinar megah menemani malam yang kian tua.

“ Ada masanya kita perlu menjadi keanak-anakkan dalam sesuatu hal. Barulah hidup ini akan lebih bererti”. Ujar Liza setelah menyedari kehadiran ku. Mungkin juga dia dapat membaca apa yang terlintas di hatiku tentang dirinya itu. Aku tersenyum dengan kata-katanya.

Aku berjalan menyusuri sepanjang pantai.beriringan dengan Liza. Dia kelihatan ceria sekali bercerita tentang kenangan semasa di Universiti dulu. Sesekali aku menyampuk percakapannya. Membuatkan rembulan makin tersenyum di balik awan. Setelah penat menyusuri pantai,kami berehat di dada pasir. Ketika ini aku bertanya kepada Liza.

“Jadi apa perkara besar yang ingin kau beritahu padaku?”. Liza menghalakan pandangannya pada ku. Lama dia terdiam.

“Aku akan bertunang hujung minggu depan”. Tutur Liza. Aku tersentap dengan kata-kata Liza. Tapi aku cuba menenangkan perasaan. Berpura-pura tidak ada apa yang terjadi.

“Cuma itu saja? Tidaklah besar sangat. Aku gembira mendengarkannya”. Aku tersenyum. Aku tidak tahu mengapa aku tiba-tiba tersenyum mendengarkan berita itu, sedangkan hati benar-benar terluka dengan perkhabaran tersebut. Buat seketika aku tertunduk lesu. Memejamkan mata. Memaksa diri menerima hakikat bahawa penantian selama ini adalah sia-sia.

“ Ada yang lebih besar dari itu yang ingin aku bicarakan”. Ujar Liza. Aku Cuma mendiamkan diri ketika ini.

“Aku tahu, kau masih ada perasaan pada ku bukan?”. Liza segera mengalihkan pandangannya pada ku. Aku tersentak dengan pertanyaan yang tidak di duga itu.

“Bertepuk sebelah tangan tidak mungkin akan berbunyi. Aku cuma berharap pada yang tidak pasti. Aku sedar hal itu.” Aku membalas kata-kata Liza.

“Kalau kau sedar, kenapa masih berharap lagi?”. Pertanyaan Liza makin menyempitkan perasaan ku ketika ini.

“Aku percaya bahawa pasti ada keajaiban di suatu hari nanti. Tuhan pasti akan menolong aku”. Ujar ku penuh keyakinan. Liza hampir menangis mendengar pernyataan itu. Aku tahu dia terlalu kecewa dengan pernyataan tersebut. Dia terdiam. Kehilangan kata-kata.

“Aku cuma anggap kau sebagai teman baik ku sahaja. Tidak lebih dari itu. Dan itu yang pernah aku katakan dulu. Hakikatnya tidak pernah berubah”. Ada kesayuan dalam nada suaranya. Aku mendengarnya dengan tenang.

“Maaf…Aku terpaksa melukakan hati kau kali ini. Hati ini bukan milik kau. Harap kau memahaminya.” Liza menyambung kata-katanya. Membuatkan aku bertambah duka. Hati kecil ku kini menangis mendengar pernyataan Liza. Aku cuba menguatkan perasaan yang semakin sayu.

“ Tidak mengapa, aku faham. Itu kata hati kau. Aku doakan yang terbaik buat kau.”. Aku melemparkan senyuman pada Liza. Sambil memujuk hati menerima rasa kecewa yang makin berombak-ombak di jiwa.

“ Terima kasih. Aku sentiasa berharap kau akan berjumpa dengan seorang wanita idaman kau. Suatu hari nanti.” Liza tersenyum riang.

“ Aku benar-benar berharap agar kau dapat lupakan aku. Kita lebih sesuai untuk menjadi teman. Itu harapan ku.” Ujar Liza dengan penuh pengharapan. Aku diam membisu. Saat ini tiada apa ungkapan yang dapat aku lafazkan. Rasa pilu dan kecewa memenuhi segenap jiwa.

“ Kau pernah dengar cerita Pungguk rindukan bulan?”. Aku menyoal Liza. Segera ku tanyakan soalan itu pada Liza. Liza kelihatan tertawa. Dia segera mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Pernah. Zam, kisah Pungguk itu cuma dongengan. Hanya cerita karut yang dibuat-buat. Mana mungkin Pungguk memiliki si Bulan yang jauh tinggi di awan. Jangan kata bahawa kau percaya cerita sebegitu”. Perli Liza padaku. Aku tersenyum dengan kata-kata Liza.

“Cerita itu cuma punya makna tersirat. Cerita yang punyai kiasan. Kisah seseorang lelaki yang setia menanti wanita yang disayanginya kembali. Kembali menerima cintanya, walaupun dia sedar dia tidak mungkin memiliki hati wanita itu. Bukan cuma cerita karut semata-mata. Cerita tentang kesetiaan dan cinta suci seorang lelaki. Dongeng yang indah bukan?”. Ujar ku. Wajah Liza berubah dengan tiba-tiba. Masam. Sindirannya tadi berpatah kembali.terkena diri sendiri.

“Zam. Tolong jangan nak mulakan kembali pasal kita. Keputusan aku tidak mungkin berubah. Faham?”. Nada suara Liza mula berubah warna. Ada ketegasan dalam nadanya. Matanya merah menahan marah yang tiba-tiba meluap. Aku kembali terdiam.

Bulan semakin pucat di balik awan. Suasana di pantai kelihatan sunyi. Sesekali terdengar desiran ombak memukul pantai. Tongkang-tongkang nelayan sudah tidak lagi kelihatan. Mungkin para nelayan-nelayan itu telah kembali ke jeti membawa pulang rezeki masing-masing. Liza Cuma mendiamkan diri melihat pantai yang kosong dan sepi. Aku turut sama memerhatikan pantai yang kosong dan luas. Seperti kosongnya perasaan aku ketika ini.

“Zam, cuba belajar untuk lupakan aku boleh?. Aku tahu bukan mudah untuk kau, tapi itu yang terbaik buat diri kau. Masa akan membuatkan kau lupa pada ku. Janji pada ku boleh?. Janji lupakan hasrat kau untuk memiliki aku.”. Liza merayu. Saat ini tangannya erat menggengam tanganku. Aku terkesima. Mulutku terkunci rapat. Kehangatan jari-jemarinya benar-benar membuatkan aku tiba-tiba sebak. Sebak dengan permintaan Liza yang sudah pasti payah untuk aku tunaikan. Hati ku makin sebak merasakan eratnya genggaman tangan Liza. Tangan yang tidak mungkin dapat di kucup mesra atau digenggam erat seperti mana yang sering aku mimpikan dalam mimpi-mimpi tidurku selama ini. Aku pasti ini adalah pertemuan terakhir dengannya. Aku pasti. Aku tertunduk lesu. Tika ini, segala kata tidak lagi bermakna. Jiwa kian duka tersungkur di pintu kasih. Aku cuma mengangguk lemah tanda setuju.

“Harap kau akan mengotakan janji-janji itu.” Liza mengorak senyuman. Secantik mawar yang berkembang di pagi hari.

“Kita akan tetap jadi sahabat sampai bila-bila Zam. Itu janji aku”. Sambung Liza. Saat ini aku berpaling merenungnya. Berfikir, mencari kebenaran kata-katanya. Apakah mungkin seorang wanita sepertinya. Yang hatinya bakal dimiliki oleh lelaki idaman hati, mampu menjadi sahabat kepada ku. Kesangsian mulai hadir di hati. Apakah kata-kata Liza sekadar pujukan untuk membaluti hati yang kian luka? Atau kata-kata itu lahir dari hatinya yang benar-benar tulus ikhlas sebagai sahabat. Semua itu menjengah fikiran ku ketika ini.

Bulan kembali bersinar terang. Meloloskan diri dari kepungan sang awan. Terang cahayanya tidak jua mampu menerangi jiwa yang kosong dan hampa. Kedinginan malam kian terasa. Menghambat segala saraf. Aku masih lagi membisu.

“Zam, aku ingin kau jadi seperti sang bulan itu”. Suara Liza mengejutkan aku. Lantas tangannya ditudingkan ke arah bulan yang memancar megah.

“Bulan memancarkan sinarnya demi menemani malam yang penuh kegelapan. Mewarnai lukisan kehidupan semesta. Begitu juga sahabat. Sentiasa di sisi ketika di perlukan. Itulah kau Zam….”. Ujar Liza sambil senyuman terukir di bibir. Pandangannya segera beralih kearah bulan. Aku segera mendongak ke langit memandang bulan yang megah bersinar di dada langit. Kata- kata Liza sudah ku jangkakan.

“Aku lebih suka jadi matahari”. Ujarku gurau. Aku tersenyum. Liza turut tersenyum.

“Apa bezanya?. Dua-duanya sama. Menyinari alam ini. Bukankah itu sifat sahabat”. Liza memberi pendapatnya. Kami tertawa bersama. Walaupun kecewa dengan kata-kata Liza, tapi itulah realiti yang pahit untuk diterima oleh hati. Kadang-kala, melepaskan sesuatu yang ingin kita miliki adalah sesuatu perkara yang dungu. Namun, ada masanya lebih baik melepaskan dari memiliki kerana tidak semua yang kita miliki itu indah. Aku tiba-tiba bermonolog dengan hatiku sendiri. Aku dan Liza berjalan menuju ke kereta meninggalkan pantai Harapan yang semakin damai menanti sang pagi menunjukkan wajah. Aku pasti pagi nanti para nelayan akan kembali menjengah pantai ini. Seperti selalu.



6.00-10.00 PAGI

“Pukul berapa bas kau”?. Liza bertanya sebaik sahaja aku selesai membeli tiket.

“Jam 6.30 pagi. Kenapa?”. Soal ku. Waktu ini orang tidak begitu ramai di Puduraya. Banyak kaunter tiket masih lagi belum di buka.

“Saja aku tanya. Terima kasih Zam,” sambil tersenyum. Aku terkejut dengan ucapan yang tidak disangka-sangka itu.

“Untuk apa?”. Aku menggaru-garu kepala ku yang tidak gatal.

“Untuk malam yang indah. Kau sudi menemani aku. Sepanjang kita berkawan, semalam merupakan hari yang paling gembira buat aku. Aku akan sentiasa mengingatinya”. Ada keriangan dan kepuasan terlukis di wajah ayunya.

“Aku pun begitu. terima kasih”. Aku mengukir senyuman.

“Liza, aku banyak berfikir malam tadi. Berfikir tentang hal kita”. Kata-kata ku membuatkan Liza terperanjat.

“Aku memikirkan kata-kata kau semalam.Mungkin itu yang terbaik buat kita”. Ujar ku. Liza diam. Dia kelihatan serius mendengar setiap patah kata yang ku tuturkan. Sejurus itu dia menghulurkan tangan untuk berjabat. Aku terpinga-pinga. Kurang mengerti dengan maksud Liza.

“Sahabat?”. Tutur Liza. kegembiraan jelas terpancar di matanya. Seketika itu aku memahami maksud Liza.Aku segara menghulurkan tangan untuk berjabat.Aku tersenyum mesra.

“Ya, sahabat buat selamanya.” Kata ku. Kami tersenyum.

“Selagi ada matahari menyuluh alam, dan selagi bulan setia menemani malam. Persahabatan ini akan sentiasa kekal”. Liza bersuara. Hentian Puduraya mulai sibuk. Kaunter-kaunter tiket mulai dibuka. Orang kelihatan berpusu-pusu membeli tiket menuju ke destinasi yang diinginkan. Aku dan Liza segera bergerak ke tangga platform menuju ke deretan bas yang sedia menunggu para penumpang.

“Jadi, sampai sini saja ‘pengembaraan’ kita kali ini”. Liza menghulurkan tangan untuk berjabat. Tanda selamat jalan dari seorang sahabat.

“Tidak. ‘Pengembaraan’ kita baru saja bermula.Gurau ku. Tiba-tiba lengan ku terasa pedih. Liza mencubit lenganku. Mungkin geram dengan seloroh ku. Mukanya masam. Aku ketawa melihat wajahnya itu. Sebelum aku menaiki bas, Liza sempat berbisik sesuatu.

“Zam, tiada sesuatu yang berharga dalam hidup ini melainkan mendapat seorang sahabat sejati. Aku benar-benar bersyukur kerana Tuhan mengurniakan kau sebagai anugerahNYA kepada ku.” Bisik Liza.

Bas bergerak perlahan-lahan meninggalkan Hentian Puduraya. Aku memandang ke luar tingkap bas. Liza melambai-lambaikan tangannya. Aku membalas lambaiannya. Ada garis-garis duka diwajahnya. Setitis dua airmatanya tumpah membasahi pipinya. Dan wajahnya Liza kian menghilang setelah bas mulai meninggalkan Puduraya. Aku terharu dengan Liza. mungkin jua aku terharu dengan keikhlasan hatinya yang tidak pernah ku cuba untuk fahami. Mungkin jua terharu kerana ini merupakan pertemuan kali akhir sebagai sahabat. Mustahil buat aku untuk bertemu Liza lagi. Aku bertambah terharu bila mengenangkan ‘kebodohan’ yang aku cipta sendiri. Bodoh kerana cuba menagih cinta dari seorang perempuan yang hatinya mustahil untuk dimiliki. Sedangkan dia benar-benar ikhlas dan setia dalam persahabatan. Aku segera bersandar. Merehatkan badan yang di serang keletihan. Memejamkan mata.,seraya berdoa di dalam hati

“Ya Allah, Kau berkati dan rahmatilah persahabatan kami ini. Jadikanlah persahabatan ini kekal sehingga hari kami menghembuskan nafas akhir kelak. Amin. Bas meluncur laju meninggalkan Kuala Lumpur. Kata orang persahabatan dan cinta itu adalah dua perkara yang berbeza dalam kehidupan ini. Kedua-duanya sama penting dalam hidup ini. Hidup tidak akan sempurna tanpanya. Entah! Bagi aku, kedua-duanya adalah sama. Nilainya punyai pengaruh yang besar dalam kehidupan manusia. Apa pun, aku mengerti bahawa cinta bukan mudah untuk dipaksa. Persahabatan pula akan berkembang mekar andainya sentiasa bersifat tulus, ikhlas dan jujur. Aku terlena di dalam bas yang meluncur laju

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...