Pages

August 30, 2011

Salji Aidilfitri




"RAYA ni saya balik. Ya... saya balik... mak tunggu. Lagi empat hari... ya… mak... mak… isshhh!”

Sayup-sayup Ann mendengar suara emak menjawab ya. Tapi, Ann hanya mendengar emak menyebut ya berkali-kali dan selebihnya, Ann tidak mendengar apa-apa lagi. Talian jadi sangat bising tiba-tiba dan akhirnya terputus.

Ann mendongak ke langit. Ada helikopter palang merah antarabangsa merentasi awan, mengganggu transmisi. Telefon satelit Ann genggam kuat, hati marah benar. Sukarnya untuk berhubung pada waktu-waktu begini.

Ann mengatur langkah masuk ke bangunan tiga tingkat di tengah Tashkent. Bangunan ini menjadi ibu pejabat Pertubuhan Islam Antarabangsa. Tingkat satu menjadi lokasi memberi bantuan perubatan dan makanan, tingkat dua menjadi gudang menyimpan stok makanan dan ubat-ubatan dan tingkat tiga menampung lebih 20 sukarelawan.

Bilik Ann di tingkat tiga paling kanan. Di tepinya ada pokok tua yang agam. Pokoknya sudah kehilangan daun dan dibalut putih salji yang tebal.

Ya, salji tebal sejak semalam. Musim dingin ini baru bermula. Namun, sudah dua kali Ann tidak dapat lena kerana ribut salji. Kalau dibanding taufan Ike atau Katrina, ribut salji yang ini bukanlah apa-apa. Sekurang-kurangnya, pihak kaji cuaca belum mengisytiharkan darurat.


Gambar hiasan

Namun, Ann terganggu benar dengan bunyi angin yang kuat. Ann terasa seluruh Tashkent ini seakan runtuh, seperti mana ia sudah pun runtuh selama dalam cengkaman Kesatuan Soviet.

Hari sudah cerah, sudah jam 7 pagi dan Ann masih belum bersahur. Sejak ribut salji melanda jam tiga pagi tadi, sejak Ann tersentak daripada mimpi jam tiga pagi tadi, Ann tidak boleh menyambung tidur hingga kini.

Anehnya Ann juga tidak berselera makan. Sisa sup berbuka tadi sudah dipanaskan dan roti sudah dipotong-potong kecil. Tapi Ann hanya memandang, selera tidak bangkit. Sebaliknya, ingatan menjurus-jurus pada sambal ikan bilis bercampur tempe dan acar buah yang kerap emak hidangkan waktu bersahur.

Ingatan itu rupanya membunuh selera Ann!

Kelmarin juga Ann tidak bersahur. Hanya minum segelas susu. Perut seakan masih sendat dengan makanan tradisional Uzbekistan pilav, nasi dengan daging goreng, lobak merah dan bawang merah bercampur kismis dan kacang pea yang Ann nikmati waktu berbuka puasa.

“Teruja hendak balik kampung, sampai tak nak makan,” Dr Landau, sukarelawan dari Perancis selalu mengusik. Ann sengih. Bukan dia sengaja, tetapi sungguh dia tidak berselera untuk makan.

Setiap kali mengingatkan 1 Syawal yang bakal dirai di kampung halaman, dadanya bergetar kuat menahan keterujaan. Setiap kali memandang beg pakaian yang sudah siap dikemaskan, dadanya berdebar hebat dan setiap kali mencium-cium tiket penerbangan yang akan membawanya pulang, jantungnya seakan berhenti berdegup. Gembira, dia terlalu gembira.

Malah sejak seminggu lalu, Ann bukan saja sudah mengemas pakaian yang akan dibawa pulang, tapi sudah juga mengemas gambar-gambar yang akan ditunjukkan pada saudara mara. Untuk emak, Ann sudah bungkuskan selendang panjang tenunan Uzbekistan yang cantik.

Pada perbualan minggu lalu dengan emak Ann sudah berpesan, lemang dan rendang kita bakar sama-sama malam sebelum raya. Ann mahu sama-sama menebang buluh, membersihkannya, mengukur kelapa, memerah santan, memasukkan pulut dalam buluh dan membakarnya. Ann juga ingin mengait daun kelapa, mahu menjalinkannya menjadi sarung ketupat yang cantik beranyam.

Ann tersengih sendiri. Waktu ini terasa hanya jasad saja berada di bumi Uzbekistan yang muram Ramadannya dan gersang Aidilfitrinya. Seluruh jiwa seakan sudah lama terbang menyeberang laut, kembali dalam dakapan emak.

Di luar, ada perbualan dalam bahasa Turki dan Inggeris, yang diselang seli gelak ketawa singgah di telinga. Ada bunyi ngauman enjin juga kuat memecah pagi Ann bangun meninjau.

Dari jendela Ann lihat ada sukarelawan yang memandu jentera penyodok salji, membuka jalan yang tersekat. Ada sukarelawan yang mengalihkan ranting dan dahan pokok yang bersepah kawasan persekitaran. Ann menyentap baju panas dalam almari dan turun menyertai mereka.

Tashkent selepas bebas daripada Kesatuan Soviet bukanlah seindah dijangka. Walaupun sudah merdeka, kerana terlalu lama dicengkam komunisme, menjadikan bukan saja Tashkent, tetapi seluruh Uzbekistan ini jauh daripada penghayatan dan kefahaman tentang Islam.

“Kamu ini aneh, orang mahu kerja pejabat hawa dingin dan gaji ribuan ringgit, kamu hendak jadi sukarelawan,”

Ya, waktu kawan-kawan sekursus memilih menjadi ahli ekonomi atau berkhidmat di bank-bank perdagangan sebaik tamat pengajian, Ann memilih ke Tashkent. Seluruh keluarga menjerit membantah, malah kekasih hati yang berjanji sehidup semati juga meninggalkan Ann kerana Ann mahu ke Tashkent.

Namun, waktu orang lain tidak pun memberi sokongan, emak mewajarkan pilihan Ann menyumbang bakti di Uzbekistan.

“Siapa lagi yang mahu memulihkan jati diri saudara seagama kalau bukan kita sendiri? Mahu terus Uzbekistan hanyut? Sudah lama dicengkam Soviet, sekarang sudah merdeka, apa salah kita tolong? Tak banyak, sikit pun, sekadar ajar anak-anak mereka mengenal huruf alif, ba dan ta, dan mengakui Tuhan itu satu pun, sudah bermakna,”

“Tapi emak, Ann itu perempuan. Ha, kau hendak pergi berapa tahun? Sanggup kau tinggalkan emak sendiri? Nanti sanggup kau hendak berhari raya dengan orang Uzbekistan. Menangislah seorang diri. Elok-elok duduk di Malaysia, hendak pergi negara lepas perang,” abang tidak penat melemahkan semangat.

Ann masih ingat renungan mata emak tepat dalam mata bundar abang. Merenung mata itu, Ann dapat menyingkap seluruh amarah yang emak simpan.

“Emak boleh membesarkan kamu semua sendirian selepas ayah kamu meninggal waktu Ann dalam pantang. Emak masih boleh hidup tenang dan kuat. Adakah kamu fikir Ann tidak mewarisi kekuatan emak? Lagi pun, Aidilfitri itu akan lebih bermakna, jika kita bijak memaknakannya, tidak kira kita di mana,”

Abang dan kakak terdiam. Abang ipar dan kakak ipar tergamam. Walau mereka mengomel di belakang, Ann berangkat juga ke Tashkent, dua bulan selepas itu atas restu emak.

Dan, jangkaan emak benar-benar menyambut Ann di Tashkent. Jangkaan tentang Islam yang suram di Uzbekistan. Jangkaan tentang Islam yang kurang penghayatannya di negara Asia Tengah itu.

Sejak kecil, emak sangat terpesona dengan kisah Laluan Sutera yang merentas Uzbekistan di Tashkent, Bukhara dan Samarkand. Kata emak, kegemilangan Islam di Uzbekistan dulu, dalam kelas tersendiri. Di situ, lahirnya dua tokoh Islam masyhur, al-Khawarizmi dan Abu Rayan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni.

Namun, semua kegemilangan Uzbekistan itu terpadam sebaik dicengkam kuat Kesatuan Soviet. Masyarakat mengenal al- Khawarizmi dan al-Biruni tanpa mengenal Uzbekistan. Ann seakan-akan terdengar emak bercerita. Emak, seorang guru sejarah tingkatan enam di sekolah berhampiran rumah.

Lalu, ketika Ann melahirkan hasrat menyertai Pertubuhan Islam Antarabangsa sebagai sukarelawan di Tashkent, Uzbekistan, emak mewajarkan walau hampir seluruh keluarga membangkang. Kata emak, walau tubuhnya tidak sampai ke Tashkent, jiwa emak sudah ada di sana melalui kamu, kamu Ann.

Lalu Ann tahu, pemergian ke Tashkent sebenarnya bukan saja membawa dirinya sendiri dan amanat seluruh umat Islam yang mahu melihat Uzbekistan bangun dan menghidupkan kembali kegemilangan lalunya, tetapi jua membawa hasrat dan jiwa emak yang terlalu lama berahi pada sejarah kehebatan Uzbekistan.

Sejarah Asia Tengah di bawah Kesatuan Soviet adalah sejarah penuh eksploitasi, kerap emak mengulang-ulang ayat itu. Malah seingat Ann, emak pernah bercerita, Stalin yang takut dengan kuasa minoriti di Kesatuan Soviet menghimpunkan pelbagai etnik di Uzbekistan untuk melemahkan dan menekan populasi asal. Stalin juga mahu Uzbekistan bergantung secara ekonominya dengan Russia.

Ann menghirup udara Tashkent sebaik saja Uzbekistan bebas daripada Kesatuan Soviet. Awalnya, Ann tidak tahu apa-apa tentang Uzbekistan. Ann hanya tahu tentang Uzbekistan daripada kisah-kisah yang emak khabarkan dan serba sedikit pembacaan. Justeru, Ann kurang bijak meneka percaturan politik di Uzbekistan. Seingat Ann, dia ada menulis surat kepada emak tiga bulan selepas sampai di Tashkent.

Mak,

Saya tidak faham percaturan politik di sini. Waktu kita berlumba-lumba datang menabur bakti di negaranya, mereka berlumba-lumba pula menjadi hero.

Selepas bebas daripada Kesatuan Soviet, Uzbekistan menggubal perundangan baru, tetapi mengharamkan parti pembangkang utamanya, Birlik. Bebas daripada kesatuan Soviet juga tidak bermakna mereka bersatu hati, sebaliknya semakin banyak pula siri keganasan pada kumpulan yang dituduh pelampau Islam.

Mungkin 70 tahun dicengkam komunisme, mereka gagal membezakan antara agama dan budaya. Jadi, semua penganut Islam yang mahu kembali pada amalan agama, bertudung, menyimpan jambang dan berjubah itu dianggap pelampau agama.

Tapi surat itu tidak emak balas, entah mengapa.

Salji tebal di hadapan bangunan sudah habis disodok. Beberapa sukarelawan bersiap dengan pikap, bersedia untuk masuk ke kampung-kampung kecil di utara Tashkent. Malam ini mereka mahu berkampung di sana, berbuka puasa dengan penduduknya dan bersolat tarawih. Ann juga akan mengikut.

Tiga tahun di Tashkent, sudah tiga Aidilfitri Ann raikan di sini. Aidilfitri yang gersang dan suram. Cukuplah, tahun ini, Ann akan pulang. Ann tidak rela meraikan Aidilfitri tanpa perasaan. Perasaan kasih dan sayang sesama insan. Ann akan pulang empat hari lagi sebenarnya. Aidilfitri bakal menjelang 1 Oktober nanti, Ann akan pulang 29 September nanti.

Tidak sabar rasanya mahu menikmati lemang dan rendang. Tidak sabar rasanya mencium tangan emak. Terbayang-bayang Kuala Lumpur, terasa-rasa hentakan punggung di kerusi pesawat waktu kapal terbang mendarat. Ann tersengih pada setiap ingatan-ingatan itu. Oh... Tashkent... aku tidak rindu padamu Aidilfitri nanti, Ann tersengih sendiri.

Di sini, Aidilfitri dan Ramadan seakan tiada maknanya. Pada mereka, ia hanya sahur, berbuka puasa dan solat sunat Aidilfitri. Tiada kunjung mengunjung tiada maaf bermaafan. Semuanya kering dan kontang. Tiada rasa dan waktu-waktu begitu, tiba-tiba Ann jadi terlalu nostalgia dan melankolik pula, teringat beratur panjang, menanti giliran mencium tangan emak di pagi Aidilfitri.

Ann masih ingat Aidilfitri pertama di sini, solat sunat raya berlangsung sebaik selesai solat Subuh kerana kebanyakan mereka pengikut mazhab Hanafi. Ann terkejut dan tentunya nyaris terlepas kenikmatan solat sunat raya!

“Kami meraikan Navrus pada 1 Januari, musim bunga pertama bukan Aidilfitri,” kata-kata itu datang daripada seorang warga tempatan, Ana Karimov.

Ann meminjamkan telinga untuk Ana Karimov bercerita tentang keistimewaan Navrus. Ann tidak berminat untuk berdebat mengenai keistimewaan Aidilfitri dengannya. Biarlah, dia masih terlalu hijau dalam mengenal keistimewaan Ramadan dan Syawal. Ann maafkan dia, atas alasan terkurung selama 70 tahun dalam Soviet.

Kenderaan pikap yang akan membawa Ann dan enam sukarelawan yang lain ke utara Tashkent sudah penuh dengan muatan. Tapi waktu hendak bertolak, angin bertiup dengan kencang.

“Ribut salji!,” Ann panik.

1 Oktober

Mak,

Selepas tiga tahun tidak pulang raya bersama dan kali ini saya gagal lagi untuk menunaikan janji. Ketahuilah mak hati saya tidak pernah tenang. Doa saya untuk mengucup tangan emak pada pagi Aidilfitri tidak tertunai jua.

Seperti emak kata, Tuhan berikan apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu. Saya terima semuanya mak, walau dalam linang air mata.

Penerbangan keluar masuk di Lapangan Terbang Tashkent dibatalkan sejak dua hari lalu. Kata mereka mungkin dalam tiga atau empat hari nanti ia akan pulih. Apabila sudah terlalu lama berada dalam dakap Soviet, waktu-waktu nanar begini, mencari-cari jalan keluar sendiri, memang memakan masa. Saya maafkan mereka kerana ribut salji ini kehendak Tuhan jua adanya. Walaupun saya masih terkial-kial memaafkan diri sendiri kerana gagal mengotakan janji bersama emak pada Aidilfitri.

Sejak, dua hari lalu ribut salji belum berhenti. Malah anginnya makin kencang, melebihi dua kali ganda taufan.

Mak, saya tidak tahu bilakah surat ini akan tiba ke pangkuan emak. Saya hanya menulis dan menulis meluahkan seluruh gundah dan segala resah. Buat masa ini, sistem pengangkutan dan komunikasi di Tashkent lumpuh sama sekali. Bekalan elektrik sudah dua hari terputus. Salji tebal di Tashkent sudah menjadi ais setebal dua meter.

Kelmarin perintah berkurung dan darurat diisytiharkan. Tetapi saya dan beberapa sukarelawan lain mengikut pasukan tentera memberi pertolongan kepada penduduk di kawasan pedalaman .

Waktu-waktu sukar begini, saya menyaksikan sudah ramai yang tahu untung nasib perlu diadukan kepada Allah yang berkuasa. Saya melihat darurat dan perintah berkurung tidak menghalang mereka membanjiri masjid dan muazin melaungkan azan.

Waktu takbir bergema di langit Tashkent yang diserkup salji, saya terasa satu kenikmatan yang sukar diceritakan dengan kata-kata menusuk dalam hati. Ia sangat indah, melebihi keindahan percikan warna warni bunga api yang menghias gelap langit. Ia kemudiannya bagai api, memanaskan hati setiap warga Tashkent, mencairkan perasaan yang beku lewat makna Aidilfitri.

Untuk pertama kalinya emak, saya terasa sangat teruja solat sunat Aidilfitri sebaik tamat solat Subuh. Sejuk yang menikam, salji yang tebal, angin yang kencang tidak sedikitpun mematahkan semangat Muslim di sini berhari raya.

Terkurung dalam masjid sementara menanti kenderaan tentera membawa kami pulang ke kediaman masing-masing. Kami sempat bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Kami sempat berdakapan sesama Muslimah, menangisi pemergian Ramadan. Kami sempat menjamah roti, sup dan pilav.

Entah mengapa kali ini saya merasakan Aidilfitri di Tashkent sungguh menyentuh hati. Ia membakar seluruh kerinduan saya pada kampung halaman. Walau langit Tashkent mendung dan buminya tebal bersalji, ada magis dalam setiap hati kami. Seperti emak percaya, saya juga kini percaya, Aidilfitri itu akan lebih bermakna jika kita bijak memaknakannya.

Emak, terima kasih kerana mewajarkan saya ke sini, empat tahun lalu.





Karya: Hafizah Iszahanid
Sumber:iluvislam.com

August 28, 2011

Ramadhan Yang Dulu




Selalu, bila terdengar pukulan gendang dari corong madrasah yang kami gelar ‘nadsah’ setiap Subuh hari, kami semakin merekot dalam selimut. Rasa sejuk ditambah perasaan kantuk melambatkan diri berpisah dari bantal dan tilam kabu. Kami tahu melambatkan Subuh tidak baik. Malah kami juga tahu menarik selimut ketika azan berkumandang samalah seperti menarik gebar kulit babi. Tapi, kanak-kanak yang degil seperti kami selagi kulit babi tidak betul-betul di atas badan kami, maka meneruskan tidur lebih menyenangkan daripada berjemaah Subuh di nadsah.

Sehinggalah badan kami dikutil tangan lembut kakak. Yang menjadi sasaran kutilan paling kuat ialah aku yang paling tua. Manakala Zaidi dan Fuad, melihatkan aku berkerut menahan sakit maka mereka bingkas menuju ke telaga. Rasa kutilan kakak seperti digigit semut dan kadangkala seperti dicucuk jarum. Berdenyut-denyut. Ketika kami bertiga, aku, Zaidi dan Fuad berbaris di saf paling belakang, buntutku yang dikutil kakak masih lagi terasa baranya.

Kakak memang garang. Lebih garang daripada emak atau pakcik. Jika ayah masih hidup, garang ayah tidak dapat melebihi kegarangan kakak. “Mengapa kakak kita selalu marah?” “Mukanya cemberut dan masam.” “Ah! Kakak seperti burung kakak tua, asyiknya berleter sahaja,” balasku menambahkah tuduhan Zaidi dan Fuad terhadap kakak. “Aku tahu kenapa?” Zaidi gelak-gelak kemudian membisik ke telinga Fuad, selepas itu Fuad berdekah lebih kuat daripada Zaidi sehingga pangkin di bawah pohon bergegar. Aku jadi tidak sabar. “Kenapa? Kenapa?” tanyaku. “Nanti kau marah, ini tentang kakak,” balas Fuad. Barangkali kerana kakak adalah saudara kandungku seibu dan sebapa, mereka ralat. Sedang Zaidi dan Fuad adalah anak ibu dengan pakcik, iaitu adik-adik tiri aku dan kakak. “Kamu bercakap seperti dia bukan kakak kamu berdua,” balasku. Zaidi dan Fuad tersengih lalu saling menjeling. “Kaulah cakap.” Zaidi menguis Fuad. “Kaulah..” balas Fuad. Aku mulai rimas. “Cakappp!” tekanku kuat sehingga Zaidi tidak berpeluang berahsia lagi. “Kakak tu umurnya sudah 20-an, bukankah dah lanjut? Di kampung kita ni mana ada anak dara setuanya, semuanya dah berkahwin.” “Lalu?” aku mencenung Fuad. Sebenarya, ramai lagi anak-anak dara di kampung kami tetapi apabila menjangkau usia belasan tahun, masing-masing berumahtangga kecuali kakak. “Kakak dapat penyakit ‘andartu’ sebab tu dia garang,” tambah Fuad. “Andartu ialah anak dara tua. Kakak anak dara tua yang tak laku,” kata Zaidi pula. “Hahahaa..” aku ketawa paling kuat. “Kasihan kakak..” kata kami bertiga serentak.

Musim Ramadan paling kami nantikan. Sejujurnya, walaupun umurku sudah menjangkau 13 tahun tetapi aku tidak pernah berpuasa penuh. Namun ibu dan kakak tidak pernah tahu kerana aku hanya meneguk air kala mengambil wudhuk terutama waktu Zohor. Pulang dari sekolah, kami tidur terlentang di beranda rumah kemudian kakak datang membawa rotan sambil menyuruh kami menukar pakaian sekolah dahulu. “Tak ada guna kamu bertiga puasa jika tinggalkan sembahyang,” kata kakak. Kerana takutkan rotan kakak (kakak benar-benar akan merotan sesungguh hatinya) kami mengekor arahan kakak. Aku sudah sedikit bertenaga selepas minum seteguk dua air kolah dan tidak bercadang menyambung tidur lagi.


bazar ramadan

Petang-petang, kami berlari ke simpang jalan melihat juadah makanan yang dijual beraneka jenis. Di tangan kami ada syiling 50 sen yang diberikan oleh pakcik sebagai upah berpuasa pada hari itu. “Tak payah belilah makanan tu, yang di rumah inipun banyak,” kata kakak. Kami mencebik. Kakak tidak pernah bersetuju dengan kami. Biarlah, duit kami, bukan duit kakak, bisikku sekadar dalam hati (kerana takut pada kakak). Di sana, ada kuih apam, badak berendam, murtabak, karipap, buah Melaka, tepung pelita, lopeh, masalodeh, bihun goreng, laksa dan lain-lain. Aku paling liur melihat sate. Walaupun harganya mahal iaitu sebatang 10 sen (berbanding kueh lain harganya hanya 5 sen satu) lalu kubeli tiga cucuk. “Ingat, tiga cucuk ni untuk aku sahaja,” kataku pada Zaidi dan Fuad. “Shh..kalau kau bagi aku secucuk, duit aku boleh digunakan membeli karbaid buat ubat meriam buluh kita,” bisik Zaidi. Kami bersepakat untuk membeli lima cucuk sate, selebihnya duit akan digunakan untuk membeli minyak tanah dan karbaid meriam. “Kenapa lima cucuk?” “Untuk aku, Zaidi, kau, emak dan pakcik,” kataku. “Kakak?” “Ah! Dia makan kuih-kuih di rumah saja,” balasku lagi.

Masuk sahaja waktu berbuka, juadah puasa terhidang memanjang. Emak memasak nasi ulam yang menjadi kegemaran pakcik. Nasi ulam dimakan bersama dengan sayur keladi. Selain itu, ada kueh buah Melaka dan karipap hasil air tangan kakak. “Hari-hari kueh Melaka, bosan!” Entah mengapa, aku berani pula memberontak di hadapan kakak. Matanya membulat. “Lebih baik daripada tak ada makanan,” katanya. Pakcik berdehem membuatkan kami semua diam. Emak menyuakan cucuk sate kepada kakak apabila melihat kakak terkebil-kebil memerhatikan sate masuk ke mulut kami. Agakanku, kakak malu untuk meminta dan lebih rela menahan keinginannya. “Siapa beli mak?” tanya kakak. “Khairil” emak memuncung padaku. “Tak apalah mak, dia beli untuk mak,” balas kakak kemudian tangannya mencapai kueh buah Melaka. Aku menjeling Zaidi, dia menjelingku. Kami senyum sinis di belakang kakak.

Puasa sudah masuk hari kelima belas. Kampung kami mulai meriah dengan pelita minyak tanah. Malam-malam, selepas sembahyang sunat terawih kami mengikut pakcik dan orang-orang tua lain bermarhaban keliling kampung. Waktu itulah peluang aku mengintip anak-anak dara seusiaku yang mengintai kami sebalik tingkap. Agenda main meriam dilakukan ketika jemaah sedang menunaikan solat terawih. Aku, Zaidi dan Fuad hanya sembahyang empat rakaat dan jika rajin enam atau lapan rakaat. Itupun sekadar mengaburkan pandangan pakcik agar dia tidak menghidu aktiviti kami. Kalaulah pakcik tahu, kami bertiga akan ditambatnya di batang pokok nangka.

Di belakang rumah Salim, kami bertiga termasuk Budin dan Salim siap sedia dengan meriam buluh. Salim, anak Imam Zainul pakar meletupkan meriam hingga bergegar pohon-pohon sekeliling rumahnya. Paling menyeronokkan apabila kami terdengar ada para jemaah di nadsah yang melatah termasuk Imam Zainul. Habis bacaannya bercelaru hingga dibantu oleh makmum yang lain. Rupanya, pasukan meriam kami disaingi oleh budak-budak kampung sebelah. Maka, terjadilah perlawanan meriam yang paling kuat. “Cita-cita aku bila besar nanti nak cipta bom pula,” tukas Salim. “Siapa yang kau nak bom tu?” “Aku nak bom rumah Bush, samseng sangat dengan orang Arab,” balas Salim. “Shh..orang Arab tu orang Islam ke?” tanya Zaidi pula. “Mestilah Islam. Kau tak tengok ke mereka pakai jubah dan serban macam di televisyen tu,” kataku pula. “OOO..aku ingat orang Melayu je orang Islam,” kata Zaidi kebodohan. Kemudian kami terus membakar meriam sehingga terdengar alunan zikir dari nadsah menandakan terawih sudah habis.



Kali kelima berlangsungnya aktiviti meletupkan meriam, rahsia kami telah pecah. Ia angkara kakak yang melakukan operasi pengintipan setelah diberitahu oleh musuh-musuh kami dari kampung sebelah. Usai terawih, belum sempat kami menyimpan perisai buluh, minyak tanah dan serbuk karbaid, kami sudah dicerkup jemaah surau termasuk pakcik. “Budak-budak nilah yang kacau sembahyang kita sampai tak khusyuk setiap malam,” kata Haji Husin. Kami sudah terkepung seperti penjenayah ditangkap polis. Tanganku dikilas ke belakang oleh Haji Noh. Tangan Zaidi dan Fuad juga begitu. Salim lebih teruk diheret bapanya, Imam Zainul ke depan rumah. “Kau memalukan ayah!” kata Imam Zainul pada anaknya. “Bawa mereka balik rumah!” arah pakcik pula kepada lelaki-lelaki yang mengilas tangan kami.

Malam itu, pohon-pohon bawah rumah menjadi teman kami. Aku terikat di batang pohon paling hujung dekat dengan dapur. Zaidi dan Fuad di batang pohon ceri. Akulah paling kasihan kerana batang pohon kelapa langsung tiada daun dan gondol terpacak. Maka, yang memayungiku ialah bintang-bintang di langit dan bulan separa penuh. Mujurlah kami sempat menyucuh sumbu pelita sekeliling rumah membuatkan malam tidak begitu kelam di bawah pohon. Manusia yang paling aku dendami ialah kakak. Dialah punca kami disiksa sebegini kejam oleh pakcik dan menyebabkan air mata emak luruh kerana kasihankan kami, anak-anak lelakinya. “Sudahlah ayahnya, lepaskanlah anak-anak kita ni,” rayu emak. “Biarkan mereka sejuk bawah pohon tu, kalau tak didenda begini, jahatnya makin menjadi-jadi,” kata pakcik.

Zaidi dan Fuad sudah terkulai layu, tertidur sambil tangan terikat ke belakang. Rupa mereka tidak ubah seperti penjenayah yang mati di tali gantung. Aku tidak dapat melelapkan mata setelah mataku bakup dek tangisan. Puas sudah aku menjerit dan merayu pada pakcik tetapi degil pakcik melebihi jeritanku. Nyamuk-nyamuk sudah melihat aku sebagai bangkai yang enak darahnya. Sejuk. Nyamuk. Perit. Semuanya bersatu menyeksa diriku. Tuhan! Bantulah hamba-Mu. Aku berjanji tidak akan menjadi budak yang nakal lagi, doaku dalam hati.

“Cepat naik atas rumah,” bisik suara halus tepi telingaku. Rupanya, kakak telah merungkai tali yang melilit tangan kami dan memimpin Fuad dan Zaidi naik ke rumah. Kakak cuba memegang tanganku namun cepat kutepis. Mengapa baharu sekarang dia bersimpati pada kami? Mengapa kakak tidak membiarkan kami mati kesejukan dahulu baharu datang membantu? Aku masuk ke dalam bilik. Sebelum melelapkan mata, aku menangis lagi dan aku tahu, kakak di bilik sebelah juga turut menangis. Mengapa kakak perlu menangis?

Esoknya, tanggal 17 Ramadan, aku demam panas. Kala itu, aku benar-benar tidak berupaya untuk berpuasa (walaupun setiap hari aku meneguk air kolah ketika berwudhuk). Tubuhku lemah dan hanya terbaring atas tilam. Zaidi dan Fuad bernasib baik kerana mereka hanya mendapat selsema. Pakcik masuk ke bilikku, “Aku harap kau tak ulangi lagi kenakalanmu. Memang denda semalam setimpal dengan perangaimu Khairil,” kata pakcik. Aku meneguk liur. Aku tidak marahkan pakcik. Yang aku marahkan ialah kakak. Mulut besarnya menyebabkan aku menderita dua hari ini. Walau bagaimanapun, sejak aku demam kakaklah yang menjaga aku siang dan malam. Mulanya aku meluat tetapi melihatkan kakak tidak banyak bercakap, aku membiarkan saja dia melumur tubuhku dengan air daun bunga raya juga menempek asam jawa atas kepalaku. Kakak memicit tubuhku, merenggangkan jemariku dan menyuap bubur ke mulutku. “Khairil, kau jangan nakal lagi ya.” Aku diam, menelan bubur yang disuap kakak. “Kau jangan nakal,” ulang kakak lagi. “Kau dah besar, kau tak boleh nakal,” kata kakak. Hatiku mulai panas. Sudah-sudahlah dia berpesan padaku. Memang aku telah berjanji tidak akan mengganggu jemaah di surau lagi. Janji itu kukuh tatkala melihat wajah pakcik dan emak. “Arwah ayah pesan pada kakak, jaga kau baik-baik dan jangan biar kau jadi budak nakal. Kau sorang sahaja adikku seibu dan sebapa,” kata kakak sebelum keluar. Barangkali dia tidak mahu air matanya tumpah di depanku.

Ramadan sekejap berlalu. Yang paling menggembirakan kami ialah dapat memakai baju melayu dan songkok baru. Pakcik akan menyewa kereta membawa kami ke pekan untuk membeli pakaian dan peralatan hari raya. Rupanya, emak membeli begitu banyak barang termasuk kain langsir, pinggan mangkuk kaca juga tikar. “Rumah kita akan sambut kenduri besar.” “Kenduri siapa?” soal kami. “Kakak akan berkahwin,” kata emak. Aku, Zaidi dan Fuad membulatkan mata.

Kakak telah dibawa pergi oleh suaminya pada hari raya kedua. Tanpa kakak, rumah kami rasa kurang. Sejak itulah, aku mulai merasakan kakak begitu penting dalam hidup kami.

---------------------------------------------------------------------------

Takbir Syawal telah berlalu. Madrasah yang dulu masih agam menerima jemaah. Cuma sebelah kawasan madrasah yang dulunya kosong kini mengisi jasad-jasad tanpa nyawa.


entah bila 'waktu' itu menemui kita...


“Ayah..!” Aku menoleh. Zakaria mampir menggenggam tanganku. ”Ibu tunggu lama dalam kereta. Adik panas,” kata Zakaria. Aku meraup muka. Pusara kakak di hadapanku basah disiram air mawar yang dibawa kami. Ramadan yang dulu tidak serupa sekarang kerana kakak sudah pulang meninggalkan seluruh kenangan untuk di kenang.

Hati Mukmin Pasti Menangis





Suatu petang, di Tahun 1525. Penjara tempat tahanan orang-orang di situ terasa hening mencengkam. Jeneral Adolf Roberto, pemimpin penjara yang terkenal bengis, tengah memeriksa setiap kamar tahanan. Setiap banduan penjara membongkokkan badannya rendah-rendah ketika 'algojo penjara' itu melintasi di hadapan mereka. Kerana kalau tidak, sepatu 'boot keras' milik tuan Roberto yang fanatik Kristian itu akan mendarat di wajah mereka.

Roberto marah besar ketika dari sebuah kamar tahanan terdengar seseorang mengumandangkan suara-suara yang amat ia benci.

"Hai... hentikan suara jelekmu! Hentikan... !" Teriak Roberto sekeras-kerasnya sambil membelalakkan mata.

Namun apa yang terjadi? Laki-laki dikamar tahanan tadi tetap saja bersenandung dengan khusyu'nya. Roberto bertambah berang. Algojo penjara itu menghampiri kamar tahanan yang luasnya tak lebih sekadar cukup untuk satu orang. Dengan marah ia menyemburkan ludahnya ke wajah tua sang tahanan yang keriput hanya tinggal tulang. Tak puas sampai di situ, ia lalu menyucuh wajah dan seluruh badan orang tua renta itu dengan rokoknya yang menyala. Sungguh ajaib... Tak terdengar secuil pun keluh kesakitan.

Bibir yang pucat kering milik sang tahanan amat galak untuk meneriakkan kata Rabbi, wa ana 'abduka... Tahanan lain yang menyaksikan kebiadaban itu serentak bertakbir sambil berkata, "Bersabarlah wahai ustaz... InsyaALlah tempatmu di Syurga."

Melihat kegigihan orang tua yang dipanggil ustaz oleh sesama tahanan, 'algojo penjara' itu bertambah memuncak marahnya. Ia memerintahkan pegawai penjara untuk membuka sel, dan ditariknya tubuh orang tua itu keras-kerasnya sehingga terjerembab di lantai.

"Hai orang tua busuk! Bukankah engkau tahu, aku tidak suka bahasa hinamu itu?! Aku tidak suka apa-apa yang berhubung dengan agamamu! Ketahuilah orang tua dungu, bumi Sepanyol ini kini telah berada dalam kekuasaan bapa kami, Tuhan Jesus. Anda telah membuat aku benci dan geram dengan 'suara-suara' yang seharusnya tidak didengari lagi di sini. Sebagai balasannya engkau akan kubunuh. Kecuali, kalau engkau mahu minta maaf dan masuk agama kami."

Mendengar "khutbah" itu orang tua itu mendongakkan kepala, menatap Roberto dengan tatapan yang tajam dan dingin. Ia lalu berucap, "Sungguh... aku sangat merindukan kematian, agar aku segera dapat menjumpai kekasihku yang amat kucintai, Allah. Bila kini aku berada di puncak kebahagiaan karena akan segera menemuiNya, patutkah aku berlutut kepadamu, hai manusia busuk? Jika aku turuti kemahuanmu, tentu aku termasuk manusia yang amat bodoh."

Sejurus sahaja kata-kata itu terhenti, sepatu lars Roberto sudah mendarat di wajahnya. Laki-laki itu terhuyung. Kemudian jatuh terkapar di lantai penjara dengan wajah berlumuran darah. Ketika itulah dari saku baju penjaranya yang telah lusuh, meluncur sebuah 'buku kecil'. Adolf Roberto berusaha memungutnya. Namun tangan sang Ustaz telah terlebih dahulu mengambil dan menggenggamnya erat-erat.

"Berikan buku itu, hai laki-laki dungu!" bentak Roberto.

"Haram bagi tanganmu yang kafir dan berlumuran dosa untuk menyentuh barang suci ini!" ucap sang ustaz dengan tatapan menghina pada Roberto.

Tak ada jalan lain, akhirnya Roberto mengambil jalan paksa untuk mendapatkan buku itu. Sepatu lars seberat dua kilogram itu ia gunakan untuk menginjak jari-jari tangan sang ustaz yang telah lemah. Suara gemeretak tulang yang patah terdengar menggetarkan hati. Namun tidak demikian bagi Roberto. Laki-laki bengis itu malah merasa bangga mendengar gemeretak tulang yang terputus. Bahkan 'algojo penjara' itu merasa lebih puas lagi ketika melihat tetesan darah mengalir dari jari-jari musuhnya yang telah hancur. Setelah tangan tua itu tak berdaya, Roberto memungut buku kecil yang membuatnya baran. Perlahan Roberto membuka sampul buku yang telah lusuh. Mendadak algojo itu termenung.

"Ah... seperti aku pernah mengenal buku ini. Tetapi bila? Ya, aku pernah mengenal buku ini."

Suara hati Roberto bertanya-tanya. Perlahan Roberto membuka lembaran pertama itu. Pemuda berumur tiga puluh tahun itu bertambah terkejut tatkala melihat tulisan-tulisan "aneh" dalam buku itu. Rasanya ia pernah mengenal tulisan seperti itu dahulu. Namun, sekarang tak pernah dilihatnya di bumi Sepanyol.

Akhirnya Roberto duduk di samping sang ustaz yang sedang melepaskan nafas-nafas terakhirnya. Wajah bengis sang algojo kini diliputi tanda tanya yang dalam. Mata Roberto rapat terpejam. Ia berusaha keras mengingat peristiwa yang dialaminya sewaktu masih kanak-kanak. Perlahan, sketsa masa lalu itu tergambar kembali dalam ingatan Roberto.

Pemuda itu teringat ketika suatu petang di masa kanak-kanaknya terjadi kekecohan besar di negeri tempat kelahirannya ini. Petang itu ia melihat peristiwa yang mengerikan di lapangan Inkuisisi (lapangan tempat pembantaian kaum muslimin di Andalusia). Di tempat itu tengah berlangsung pesta darah dan nyawa. Beribu-ribu jiwa tak berdosa gugur di bumi Andalusia. Di hujung kiri lapangan, beberapa puluh wanita berhijab (jilbab) digantung pada tiang-tiang besi yang terpancang tinggi. Tubuh mereka gelantungan tertiup angin petang yang kencang, membuat pakaian muslimah yang dikenakan berkibar-kibar di udara.

Sementara, di tengah lapangan ratusan pemuda Islam dibakar hidup-hidup pada tiang-tiang salib, hanya karena tidak mahu memasuki agama yang dibawa oleh para rahib. Seorang kanak- kanak laki-laki comel dan tampan, berumur sekitar tujuh tahun, malam itu masih berdiri tegak di lapangan Inkuisisi yang telah senyap. Korban-korban kebiadaban itu telah syahid semua. Kanak kanak comel itu melimpahkan airmatanya menatap sang ibu yang terkulai lemah di tiang gantungan. Perlahan-lahan kanak - kanak itu mendekati tubuh sang ummi yang tak sudah bernyawa, sambil menggayuti abinya.

Sang anak itu berkata dengan suara parau, "Ummi, ummi, mari kita pulang. Hari telah malam. Bukankah ummi telah berjanji malam ini akan mengajariku lagi tentang alif, ba, ta, tsa... .? Ummi, cepat pulang ke rumah ummi... "

Budak kecil itu akhirnya menangis keras, ketika sang ummi tak jua menjawab ucapannya. Ia semakin bingung dan takut, tak tahu apa yang harus dibuat . Untuk pulang ke rumah pun ia tak tahu arah. Akhirnya budak itu berteriak memanggil bapaknya, "Abi... Abi... Abi... " Namun ia segera terhenti berteriak memanggil sang bapa ketika teringat petang kelmarin bapanya diseret dari rumah oleh beberapa orang berseragam.

"Hai... siapa kamu?!" jerit segerombolan orang yang tiba-tiba mendekati budak tersebut. "Saya Ahmad Izzah, sedang menunggu Ummi... " jawabnya memohon belas kasih.

"Hah... siapa namamu budak, cuba ulangi!" bentak salah seorang dari mereka. "Saya Ahmad Izzah... " dia kembali menjawab dengan agak kasar. Tiba-tiba, Plak! sebuah tamparan mendarat di pipi si kecil.

"Hai budak... ! Wajahmu cantik tapi namamu hodoh. Aku benci namamu. Sekarang kutukar namamu dengan nama yang lebih baik. Namamu sekarang 'Adolf Roberto'... Awas! Jangan kau sebut lagi namamu yang buruk itu. Kalau kau sebut lagi nama lamamu itu, nanti akan kubunuh!" ancam laki-laki itu.

Budak itu mengigil ketakutan, sembari tetap menitiskan air mata. Dia hanya menurut ketika gerombolan itu membawanya keluar lapangan Inkuisisi. Akhirnya budak tampan itu hidup bersama mereka. Roberto sedar dari renungannya yang panjang. Pemuda itu melompat ke arah sang tahanan. Secepat kilat dirobeknya baju penjara yang melekat pada tubuh sang ustaz. Ia mencari-cari sesuatu di pusat laki-laki itu. Ketika ia menemukan sebuah 'tanda hitam' ia berteriak histeria, "Abi... Abi... Abi... "

Ia pun menangis keras, tak ubahnya seperti Ahmad Izzah dulu. Fikirannya terus bergelut dengan masa lalunya. Ia masih ingat betul, bahwa buku kecil yang ada di dalam genggamannya adalah Kitab Suci milik bapanya, yang dulu sering dibawa dan dibaca ayahnya ketika hendak menidurkannya. Ia jua ingat betul ayahnya mempunyai 'tanda hitam' pada bahagian pusat. Pemuda bengis itu terus meraung dan memeluk erat tubuh tua nan lemah. Tampak sekali ada penyesalan yang amat dalam atas tingkah-lakunya selama ini.

Lidahnya yang sudah berpuluh-puluh tahun lupa akan Islam, saat itu dengan spontan menyebut, "Abi... aku masih ingat alif, ba, ta, tha... " Hanya sebatas kata itu yang masih terakam dalam benaknya. Sang ustaz segera membuka mata ketika merasakan ada tetesan hangat yang membasahi wajahnya. Dengan tatapan samar dia masih dapat melihat seseorang yang tadi menyeksanya habis-habisan kini sedang memeluknya.

"Tunjuki aku pada jalan yang telah engkau tempuhi Abi, tunjukkan aku pada jalan itu... " Terdengar suara Roberto meminta belas. Sang ustaz tengah mengatur nafas untuk berkata-kata, lalu memejamkan matanya. Air matanya pun turut berlinang. Betapa tidak, jika setelah puluhan tahun, ternyata ia masih sempat berjumpa dengan buah hatinya, di tempat ini. Sungguh tak masuk akal. Ini semata-mata bukti kebesaran Allah.



Sang Abi dengan susah payah masih boleh berucap. "Anakku, pergilah engkau ke Mesir. Di sana banyak saudaramu. Katakan saja bahwa engkau kenal dengan Syaikh Abdullah Fattah Ismail Al-Andalusy. Belajarlah engkau di negeri itu,"

Setelah selesai berpesan sang ustaz menghembuskan nafas terakhir dengan berbekal kalimah indah "Asyahadu anla IllaahailALlah, wa asyahadu anna Muhammad Rasullullah... '.

Beliau pergi dengan menemui Rabbnya dengan tersenyum, setelah sekian lama berjuang dibumi yang fana ini. Kini Ahmah Izzah telah menjadi seorang alim di Mesir. Seluruh hidupnya dibaktikan untuk agamanya, Islam, sebagai ganti kekafiran yang di masa muda sempat disandangnya. Banyak pemuda Islam dari berbagai penjuru berguru dengannya...

August 25, 2011

Mihrab




IQAMAH dialunkan melalui pembesar suara. Saya lekas mengatur langkah menuju ke masjid. Apabila tiba, saya lihat jemaah sudah penuh dua saf. Saya berdiri di saf ketiga. Di kiri dan kanan sudah ada dua tiga orang lagi yang baru sampai dan sama-sama membentuk saf. Saya rapat-rapatkan tumit dan bahu, betulkan saf sungguh-sungguh. Meyakini bahawa saf bukan pada lurusnya sahaja, tapi juga pada rapat dan akrabnya tubuh. Apa yang mengecewakan saya, jemaah masjid walau di mana-mana tidak suka merapatkan tubuh dan bahu bila berdiri dalam saf. Maka saf pun jadi bengkang-bengkok macam ular kena palu dan pada hari ini, seperti hari-hari sebelumnya, saya masih kecewa. Apabila saya rapatkan tubuh kepada makmum di sebelah kanan, dia menjauh sedikit dan jangan diharap pada makmum di sebelah kiri yang memang tidak mahu akrab sejak tadi. Saya kira, jika jemaah saf pertama dan kedua membetulkan saf sungguh-sungguh, merapatkan bahu dan tubuh, sudah tentu tidak akan wujud saf yang ketiga ini.



Aduhai! Saya ingin mengangkat takbir, tetapi terhenti apabila tersentak dengan makmum di sebelah kanan yang angkat takbir berulang-ulang dan tersekat-sekat pula. “Allahhhh… Allahhhhhuuu… Akbar!!” Sekali lagi. “Allahhhh… Allahhhhhuuu… Akbar!” Masih tak menjadi. “Allahhhh… Allahhhhhuuu… Akbar!” Saya jadi hangat. Lekas saya sabarkan hati kerana solat baru sahaja bermula. Namun, Allah mahu menguji sungguh-sungguh kesabaran saya apabila solat telah bermula dan dia membaca al-Fatihah dengan suara yang kuat. Malah siap berlagu pula dengan kepala tergeleng-geleng. Yang paling menjuakkan tidak puas hati, dia masih begitu, mengulang-ulang ayat beberapa kali. Saya seperti ingin berkata kepadanya waktu itu juga; was-was itu datangnya daripada syaitan! Semasa solat saya cuba hadirkan hati buat menggapai khusyuk. Tetapi acap kali konsentrasi saya terganggu oleh makmum di sebelah kanan.

Seusai memberi salam dan berzikir, saya bingkas dan menunaikan solat sunat selepas maghrib disusuli solat sunat hajat. Apabila selesai, saya bingkas dan ingin mencapai mashaf, tetapi benak pantas teringatkan pesanan Imam al-Ghazali tentang salah satu daripada hak solat berjemaah. Pesanan itu beragaman dan mengapung di benak. Saya membatalkan hasrat mengambil mashaf. Lantas tercari-cari makmum di sebelah kanan saya tadi. Dia kelihatan sedang duduk bersila di saf yang ketiga, menghadap mihrab. Saya menghampiri dan duduk di sebelahnya. Saya lihat wajahnya dari sisi, maka tahulah saya yang umurnya sudah renta. Saya rasa tak sedap hati. Bagaimana saya ingin menunaikan tanggungjawab dan hak ini? Saya tahu, saya perlu menunaikan hak untuk menegur dan memperingatkan jika melihat orang lain yang kurang betul atau melakukan kesalahan dalam solatnya.

Berilah pengajaran dan pengetahuan. Imam al-Ghazali seperti berbisik rapat di telinga saya. Aduh, apakah tindakan saya ingin menegur sekarang ini, dalam waktu ini juga, adalah tindakan yang wajar? Apatah pula saya baru berpindah dua hari di kawasan ini dan mahu pula menegur seorang yang sudah agak renta, mungkin juga sudah bermastautin lama di sini. Apakah ini adalah tindakan yang waras? Apakah saya akan dituduh memandai-mandai dan tunjuk lagak? Pesanan Imam al-Ghazali mengapung lagi. Bergema dalam hati. Saya membulatkan nekad. Saya perlu mencegah. Saya tidak mahu bersubahat dan sama-sama menanggung dosa. Orang tua itu kelihatan sedang khusyuk berdoa. Saya menunggu beberapa detik.

Setelah melihat dia meraup kedua tangannya ke muka, saya memberi salam dengan nada yang paling lembut. Dia memandang saya dengan kening berkerut seraya menjawab salam. Saya tersenyum kepadanya seraya bertanya, “Pakcik apa khabar?” Dia masih kerut kening dengan wajah diserkup pelik. “Alhamdulillah.” Suaranya mendatar. Saya tahu, waktu ini saya perlu berhati-hati mengeluarkan kata-kata. Saya perlu membeli kepercayaannya dahulu. Saya lantas memperkenalkan diri dan latar belakang, kemudian menghulurkan tangan. Kami berjabat. Dia saya kenali sebagai pakcik Muhsin. Setelah berbual dengannya beberapa minit, maka betullah telahan saya yang dia sudah lama tinggal di kawasan ini. Malah, rumahnya juga karib dengan masjid. Waktu ini, saya sudah mula merasakan keakraban, justeru saya kira kami sudah bersedia melanjutkan perbualan kepada mauduk utama.

“Apa pendapat pakcik tentang saf jemaah di masjid ini?” Senyuman masih tekal di bibir saya. “Bagus.” Dia mengangguk kepala sedikit. Saya tersenyum lagi. Kemudian memandang mihrab. Sebetulnya ingin memancing respons. “Kenapa?” Suaranya kedengaran serak-serak. “Saya kira kurang baik, pakcik. Walaupun baru dua hari di sini, saya lihat saf di sini masih bengkang-bengkok. Jemaah juga tidak mahu merapatkan bahu bila berdiri bersama.” Saya kembali memandangnya dengan senyuman. Saya tahu, senyuman ada kuasa memikat, selain pahala bersedekah. “Itu tak jadi masalah.” Dia bersuara acuh tak acuh. Saya terkedu sedikit. Senyuman saya mati. Di situ, keegoannya sudah mula terserlah. Saya memujuk hati dan membacakan sebuah hadis riwayat Muslim tentang saf, “Luruskan barisanmu, jangan bengkang-bengkok; kerana barisan yang bengkok nescaya akan menyebabkan hatimu berpecah belah.”

“Saf ni asas solat berjemaah pakcik, kesempurnaan solat berjemaah. Kalau kita sambil lewa, matlamat untuk mengakrabkan silaturrahim sesama Muslim itu tak akan tercapai. Hati kita akan bengkang-bengkok seperti saf itu. Penuh hasad, iri, takbur dan macam-macam lagi.” Saya bersuara lembut dan moga-moga akan menusuk ke kalbunya. “Lagi?” Nada suaranya ditinggikan. Ya, kini saya sudah mula merasakan suatu gejolak. “Cara solat pakcik. Saya nasihatkan sebelum solat, pakcik bacalah surah an-Nas dan berta’awuzlah, mohon perlindungan daripada syaitan yang direjam. Was-was itu datangnya daripada syaitan dan kejahilan.” Saya mengukir senyuman semanis madu.

Orang tua itu tiba-tiba mendengus. “Apa? Aku jahil?”

Matanya terbeliak memandang saya. Saya terkesiap. Sungguh, saya benar-benar tidak menjangka akan menerima reaksi sedemikian. Saya menarik nafas dalam-dalam. Pandangannya tidak saya balas dan kembali terlempar ke arah mihrab. Saya perlu mewujudkan jeda. “Aku cuba untuk khusyuk.” Pakcik Muhsin tiba-tiba berkata perlahan setelah berlalu beberapa detik. Saya gesit memandangnya. Dia pula lekas mengalih pandang ke arah mihrab. Tidak mahu bertentang mata. Hati saya dijentik kagum. Rasa kasihan juga bercampur baur. Ya, sekarang inilah waktu yang paling sesuai untuk saya menyampaikan dan memberikan pedoman.



“Izinkan saya memberikan formulanya, pakcik.” Saya memandang sisi wajahnya. Dia langsung tidak memandang saya. Geleng pun tidak, angguk pun tidak. “Pakcik perlu hadirkan hati.” Saya perasan kening pakcik Muhsin yang berkerut. “Maksudnya, hati itu mesti dikosongkan daripada segala sesuatu yang tidak ada sangkut paut dengan solat. Yang ada hanya Tuhan yang ingin kita sembah.” Dia kelihatan mengangguk sedikit. Riaknya itu sudah cukup sebagai pendorong semangat saya berbicara. Saya senyum, kemudian membacakan firman Allah dalam surah Taha ayat 14, “dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku.” Kemudian saya iringkan dengan surah al-A’raf ayat 205, “Dan janganlah engkau menjadi orang-orang yang lalai.”

“Kelekaan dan kelalaian itu adalah lawan kepada mengingati. Jika lalai dalam solat, bagaimanakah ingin dikatakan seseorang itu ingat kepada Allah? Solat bukan pada zahir sahaja, tapi juga pada batinnya.” Saya bacakan pula ayat 43 daripada Surah an-Nisa’, “hingga kamu sedar dan mengetahui apa yang kamu katakan.”

“Walaupun ayat ini adalah sebagai dalil melarang orang-orang yang sedang mabuk mendirikan solat sebelum pengharaman arak secara mutlak, tetapi ayat ini juga boleh digunakan sebagai larangan bagi orang-orang yang leka, lalai dan orang-orang yang dihinggapi penyakit was-was.”

Masjid itu tiba-tiba berdengung dengan bunyi motosikal. Saya berhenti seketika. Budak-budak rempit ini memang tidak pernah kenal ketololan mereka. Setelah bunyi itu reda, pakcik Muhsin memandang tunak wajah saya, saya tersenyum sepicing dan kembali menyambung. “Pakcik lihat sekarang, ramai orang yang mengerjakan solat atau mengaku menunaikan solat, tapi aurat terbuka sana, terbuka sini, senang kata, maksiat atau dosa tetap mereka lakukan. Sedangkan kita maklum, solat itu mencegah perkara yang keji dan mungkar. Berdasarkan sebuah hadis riwayat Tabrani, “Barang siapa yang solatnya tidak dapat mencegah dirinya dari perbuatan keji dan mungkar, maka orang itu tidaklah ditambah oleh Allah melainkan jauh, yakni jauh dari kebenaran.” Bermakna, kalimah-kalimah dalam solat hanya meniti di bibir sahaja, tidak mengalir ke dalam hati. Atau mereka gagal menghadirkan hati.” Saya menerangkan bersungguh-sungguh.

“Orang yang gagal menghadirkan hati ni seperti orang yang mengigau, pakcik.” Saya sengaja tidak memandang kepada pakcik Muhsin. Pandangan saya jatuh ke arah mihrab yang terbentang sejadah imam itu, tapi minda dan hati jauh berkelintar. “Mengigau?” Pakcik Muhsin yang baru saya kenali itu menyoal. Daripada bunyi nadanya saya tahu dia sedang kepelikan. Pesanan Imam al-Ghazali beragaman dalam benak saya. “Ya pakcik. Orang yang lalai ini seperti orang yang mengigau dalam tidur. Apakah orang yang berkata-kata dalam tidur dikira sebagai ucapannya sendiri atau igauan semata-mata? Adakah kata-kata ‘pakcik sudah pergi ke London’ semasa dalam tidur, orang akan percaya dan terima?” Pada perkataan London itu saya menyebutnya menggunakan ejaan Melayu seraya terkerisin.

Saya membetulkan sila.

Pakcik Muhsin menunggu dengan mata terkejip-kejip. “Jadi, solat kita semasa lalai, segala ayat-ayat dalam solat kita lafazkan sedangkan hati kita alpa, tidak jaga dan tidak hadirkan hati, adalah seperti orang yang mengigau, tidak tahu apa yang diucapkan, tidak sedar dan apakah solat kita akan diterima Tuhan?”

Saya kembali memandangnya. Namun, saya sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Pakcik Muhsin bangun tiba-tiba dan memandang saya sepicing sebelum berlalu ke arah mihrab. Ada tiga orang jemaah di saf yang pertama menghadap mihrab, yang saya rasakan orang-orang kuat masjid. Hati saya diterpa bermacam rasa. Walang, bimbang dan gentar bercampur baur. Saya menghela nafas dan lekas beristighfar. Meyakinkan hati, bahawa kemenangan itu adalah untuk orang-orang yang benar. Saya teringat firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 165, “Maka tatkala mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan orang-orang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik.”



Hati saya hanya mampu mendoakan agar pakcik Muhsin tidak termasuk di kalangan golongan yang disebut Allah dalam ayat ini. Golongan yang tidak menghiraukan, tidak mempedulikan apabila datang peringatan kepada mereka. Saya melihat jam, waktu masih awal. Masih ada masa lebih kurang tiga puluh minit sebelum masuk fardu Isyak. Saya lekas bingkas dan mengambil mashaf, kemudian beriktikaf semula di tempat yang sama. Namun, belum pun sempat saya membuka mashaf, ada orang memegang tangan saya. Saya terkedu apabila melihat pakcik Muhsin berada di sisi saya dan meminta saya bangun.

“Bangunlah. Pakcik sudah cadangkan pada imam dan jawatankuasa untuk membenarkan anak memberikan tazkirah. Mereka setuju.” Saya bingkas dan menurutinya dalam pinga. “Adalah tidak adil jika anak menyampaikan ilmu untuk pakcik seorang saja. Apa yang ingin anak sampaikan penting dan perlu juga disampaikan kepada jemaah.” Dia mengukir senyum. Senyuman yang julung-julung kalinya tentu! Serentak itu saya terdengar suara imam meminta semua jemaah menumpukan perhatian di hadapan. Saya terkesima. Subhanallah! Hati saya diterpa kagum tak henti-henti. Zikir dalam hati bertemali. Saya melangkah dan duduk di mihrab.

Sebelum memulakan kuliah, saya memandang pakcik Muhsin yang duduk karib di sebelah kanan, kemudian ke arah jemaah di sekitar masjid. Jiwa saya ketika itu beragaman dengan diksi - ayuh, kita hadirkan hati!

August 23, 2011

Layakkah Aku ?




Batrisya. Gadis pujaan para teruna. Jika ada kata-kata untuk menggambarkan kecantikan dan keayuannya, pasti bait-bait ini menjadi pilihan. Wajahnya sebujur sirih, alis matanya lentik, pipinya bak pauh dilayang, bibirnya merah delima, rambutnya hitam ikal mayang
Siapa tidak kenal Batrisya? Pujaan jejaka dari kampung hulu hinggalah ke kampung seberang. Ada yang sanggup merantau dari bandar ke pekan hanya semata-mata untuk menyaksikan sendiri keindahan dan kecantikan Batrisya yang sering menjadi topik perbualan hangat setiap jejaka yang telah terkena panahan matanya. Mata yang sering kali melemparkan kerlingan manja sehingga mamak yang tengah buat roti canai pun boleh tersalah menu.

" Assalamualaikum"
Lontaran suara yang matang tersebut segera menarik perhatian Batrisya untuk melihat pemiliknya. Dia segera membetulkan rambutnya yang dibiarkan lepas separas bahu.
"Waalaikumsalam"
Jawapan yang sememangnya dinantikan oleh jejaka yang sedari tadi tercegat di atas tangga rumahnya. Tersentak jejaka tersebut apabila terlihat olehnya akan susuk yang begitu indah lagi menawan. Di dalam hati kecilnya berbisik

" Alangkah manisnya jika susuk yang indah ini dipelihara daripada pandangan ajnabinya"
" Astarghfirullahalazim.... apa yang aku fikir ni?" Jejaka tersebut beristighfar panjang. Betapa dia tadi telah tergoda oleh jelingan mata tersebut yang hanya merupakan panahan syaitan semata-mata. Dia segera menundukkan pandangannya. Dengan nada yang agak tegas dia pun bersuara.
" Ustaz Jamil ada?"
Dengan suara yang sengaja dilembutkan, Batrisya menjawab persoalan tersebut sambil matanya cuba menangkap pandangan jejaka tampan yang sedang berdiri di hadapannya.
" Ayah tidak ada di rumah. Dia baru saja ke masjid. Ada urusan di sana. Masuklah dahulu"
Urusan yang sememangnya dia sendiri tidak pasti kerana dia sendiri pun sudah tidak ingat bila kali terakhir dia menjejakkan kaki ke masjid yang hanya beberapa minit sahaja jauhnya dari rumahnya.
" Masuk? Ah! Tidak mungkinlah! Tidak mungkin aku menceroboh masuk ke dalam rumah seorang wanita yang haram bagiku" bisik hati kecilnya dengan penuh ketegasan.



" Tidak mengapa. Kalau sudah begitu, saya akan ke masjid sahaja. Terima kasih"
dia segera berlalu pergi tanpa menghiraukan Batrisya yang masih memerhatikan setiap langkah kakinya.
Selama ini, tidak ada seorang jejaka di kampung tersebut yang mampu memiliki cinta Batrisya. Biar diberikan tanah sedunia dan selautan emas sekalipun, Batrisya tidak mudah menyerahkan cintanya kepada mana-mana jejaka yang cuba memilikinya. Sudah hampir sekampung pinangan datang kepadanya, namun tidak ada satu pun yang menarik perhatiannya. Dia lebih selesa hidup membujang dan membuat lelaki-lelaki tersebut mabuk kepayang dan sakit rindu kerana terlalu ingin memilikinya. Dia berasa bangga apabila dipuja sebegitu.
Tetapi, sejak kemunculan jejaka tersebut yang tiba bagai angin lalu pada hari itu, Batrisya menjadi tidak keruan.

Tidurnya sekejap ke kiri,sekejap ke kanan. Makannya tidak pernah kenyang dan perubahan pada puteri tunggal kesayangannya itu memang ketara sekali pada pandangan mata Ustaz Jamil.
Pada suatu malam yang sepi, setelah selesai solat berjemaah di masjid,Ustaz Jamil segera pulang ke rumah. Pada kebiasaannya, dia akan terus duduk di masjid sehingga larut malam sambil membincangkan urusan-urusan di kampung yang sudah sememangnya menjadi tanggungjawabnya sebagai ketua kampung. Tidak lupa juga dia memberi tazkirah pendek buatsantapan rohani setiap jiwa yang hadir untuk solat berjemaah. Tetapi, perasaannya kali ini tidak enak. Perubahan sikap Batrisya sangat merisaukan baginya. Dia melangkah pantas meredah angin malam.
Setibanya di rumah, dilihatnya Batrisya duduk termenung di tepi tangga. Hampir setiap malam Batrisya duduk di situ sambil memerhatikan bulan yang sememangnya pada waktu itu sedang mengambang penuh. Perlahan-lahan Ustaz Jamil menghampiri puteri kesayangannya itu.

Sejak pemergian isteri tercinta, Batrisya, yang selalu menjadi peneman dan penghibur Ustaz Kamil. Sungguh kasihnya dia pada Batrisya sehingga dia tidak pernah sanggup untuk menjentik anak itu walau sekalipun. Kedegilan Batrisya ketika diajak menunaikan solat juga tidak mampu ditanganinya.
Ustaz Jamil sedar, sebagai seorang bapa, betapa dia telah gagal mendidik anaknya menjadi wanita solehah sesuai pesanan arwah isterinya, dan kerana itulah dia menangis dan meratap sedih setiap kali dirinya datang "mengahadap" Allah. Bukan dia tidak mahu anaknya menjadi seorang mujahidah, dia cuma terlalu sayangkan

Batrisya sehingga sebesar apapun kesalahannya, Ustaz Jamil tidak sedikitpun memarahi Batrisya. Walaupun begitu, setiap malam, Ustaz Jamil akan memberikan peringatan dan menceritakan pelbagai kisah Ummul Mukmininbuat Batrisya kerana Batrisya sangat suka akannya.
Dan seperti biasa, pada malam itu, Ustaz Jamil berhajat untuk meneruskan ceritanya yang masih bersisa semalam. Dia duduk di sisi Batrisya kemudian menatap wajah ayu persis isterinya itu. Dia tersenyum sendiri terkenangkan saat dia dan isterinya duduk di tangga itu 10 tahun yang lalu. Tidak ubah seperti hari ini. Sungguhpun bertahun dia menanggung derita atas pemergian ratunya, dia tetap bersyukur kerana Allah masih menyayanginya dengan mengurniakan sebutir permata yang baginya begitu indah dan berharga.

" Abah, bulan itu cantik kan?" bisik Batrisya perlahan sambil matanya masih memerhatikan bulan yang nun jauh di sana. Tidak berkelip sedikitpun.
Ustaz Jamil segera mengalihkan pandangannya ke arah bulan tersebut. Lama dia berfikir sambil menatap bulan tersebut. Setelah hampir sepuluh minit, Ustaz Jamil pun bersuara.
"Cantik, nak. Bila bulan mengambang penuh macam ni, lagi cantik. Cuba lihat pula pada bintang-bintang yang mengelilingi bulan itu. Bintang pun tak kurang cantiknya. Tanpa bintang-bintang tu, bulan takkan tampak secantik dan semegah itu"
Ustaz Jamil mengatur ayat-ayatnya lagi. Malam ini, dia berhasrat untuk menyampaikan sebuah berita besar buat Batrisya. Berita yang dia sendiri pun tidak tahu akan penerimaannya nanti. Dia bersuara lagi.
"Batrisya...Bulan yang mengambang penuh dan cantik tu samalah seperti kaum wanita yang telah diciptakan oleh Allah di muka bumi ni. Diciptakan dengan fizikalnya yang menarik dan memang indah pada pandangan lelaki. Tetapi, setakat itu sajalah cantiknya. Sama seperti bulan tanpa cahaya bintang. Tidak akan jadi seindah bulan pada malam ini.

Tapi, bulan pada malam ni, dipagari dan dikelilingi oleh bintang-bintang yang gemerlapan sinarnya, tidak ubah seperti wanita-wanita yang menutup segala anugerah Allah itu dengan pakaian yang sepatutnya, yakni pakaian yang menutup aurat. Tidak ketat, tidak nipis, tidak jarang, tidak pula terlalu terang sehingga menarik perhatian mata-mata yang memandang. Wanita-wanitaseperti itulah yang paling cantik Batrisya. Seperti cantiknya bulan yang dipagari bintang"
Hati kecil Batrisya tiba-tiba tersentuh apabila mendengarkan kata-kata ayahnya yang penuh bermakna itu. Dia cuba mencernanya perlahan-lahan dan kemudian menatap mata ayahnya dalam-dalam. Kemudian merenung semula ke arah bulan tersebut.

"Batrisya, abah ada sesuatu nak beritahu ini. Hari tu, waktu abah masih di masjid, ada pemuda datang jumpa abah. Taufik namanya. Budak itu baik orangnya, nak. Dari gaya dan cara dia membawa diri, abah tahu dia seorang pemuda yang soleh. Dah beberapa hari ni abah perhatikan dia. Solat jemaah di masjid tak pernah tinggal. Rajin pulak membantu orang-orang kampung membersihkan masjid tu. Hari tu, ayah terdengar dia bertarannum di masjid. Bagus sekali, nak. Orangnya sopan dan lemah lembut. Kalau boleh"
Belum sempat pun Ustaz Jamil menghabiskan ayatnya, Batrisya sudah mula memotong.

"Apa dia abah? Abah nak jadikan dia menantu abah ke? Abah, cuba abah fikir baik-baik. Layak ke perempuan macam Batrisya ini jadi pendamping lelaki soleh macam dia, abah? Solat pun sekali-sekala. Al-quran? Tak usahlah abah cerita. Dah bertahun agaknya Batrisya tak baca. Dah tak tahu kat mana Batrisya simpan. Pakai tudung pun tidak. Menutup aurat? Jauh sekali. Layak ke Batrisya untuk orang macam itu, abah?"
Dengan nada keras dan linangan air mata, Batrisya mengucapkan kata-kata tersebut. Dia sedih apabila mengenangkan segala kelemahan dan keburukan dirinya. Sedih apabila mengenangkan dirinya yang tidak pernah sekalipun "bertemu" Allah dalam tahun itu. Sedih apabila mengenangkan segala-galanya, tentang dirinya. Sungguh telah lama dia tersesat dan menjadi seorang pendosa. Cerita ayahnya mengenai bulan dan wanita menambahkan lagi kesedihannya.

Sungguh selama ini dia telah membiarkan dirinya menjadi mangsa pandangan mata-mata yang dipenuhi penyakit zina itu. Sungguh dia selama ini membiarkan susuknya yang menawan menjadi santapan bagi penagih-penagih cintanya. Terlalu banyak dosanya sehingga tidak terhitung lagi. Bukan dia tidak mahu berubah. Dia cuma takut akan pandangan orang-orang kampung terhadapnya nanti. Apa kata orang kampung andainya Batrisya yang selama ini dipuja-puja atas kecantikan dan keayuannya menutup semua anugerah itu dengan pakaian yang akan menghalang setiap mata yang cuba menembusinya? Dia cuma terlalu malu dan takut untuk berubah.

Taufik pula.Jejaka yang jauh sekali tinggi darjatnya berbanding dirinya yang lemas dibelenggu kesesatan yang dia ciptakan sendiri. Tidak perlu baginya untuk menemui dan mengenali Taufik sendiri. Dari cerita ayahnya sahaja dia sudah tahu betapa berbezanya dia dengan Taufik.Bagai langit dan bumi. Jejaka yang soleh seperti Taufik sesuaikah menjadi teman hidup seorang pendosa sepertinya? Dia tidak pernah lupa akan janji Allah buat seluruh umat manusia yang selalu disebut-sebutkan oleh ayahnya.
"Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik(pula)" (an-Nur 24:26)
Taufik sudah pastinya seorang lelaki yang baik. Tapi, dirinya? Siapa dirinya? Dia hanya seorang perempuan yang dia kira selayaknya menjadi milik lelaki-lelaki yang seringkali memuja dirinya kerana kecantikan yang dia tonjolkan jauh panggang dari api! Tidak mungkin lelaki seperti itu mahu, andainya wanita sepertinya menjadi suri hidup mereka.

Hanya akan memburukkan nama dan menjatuhkan maruah sahaja. Batrisya masih mendiamkan diri dengan deraian air mata. Menyesali segala kesilapan dan dosanya terhadap Yang Maha Esa. Dosanya terhadap Sang Pencipta yang telah mengurniakan dirinya dengan anugerah yang menjadi igauan wanita-wanita lain di kampung itu. Kecantikan. Itulah anugerah milik Allah yang selama ini telah dia cabuli dengan menonjolkannya buat tatapan lelaki lain selain lelaki yang selayaknya. Tidak lain tidak bukan, Suaminya.

"Ya Allah. Hamba berdosa pada-Mu. Masihkah lagi ada ruang di sisi-Mu buat hamba yang hina dan jijik ini?" ratap Batrisya tanpa menyedari bahawa Ustaz Jamil masih lagi ada di sisinya.
Batrisya sudah tidak kuasa untuk menatap bulan itu lagi. Setiap kali memandang bulan tersebut, dia akan merasa betapa ruginya dia sebagai seorang wanita yang telah menjual harga dirinya. Dia bangun perlahan-lahan lalu menaiki tangga rumahnya satu-persatu. Tiba-tiba, langkah lemahnya terhenti. Ustaz Jamil menarik lembut tangan mulus anaknya itu.

" Duduk sekejap,nak. Abah belum habis cerita lagi" lembut tuturan Ustaz Jamil.
Batrisya segera melabuhkan punggungnya di atas tangga itu semula. Dia masih mendiamkan diri.
" Batrisya. Semalam Taufik datang jumpa Abah. Dia cakap" kata-kata Ustaz Jamil terhenti di situ seketika. Gugup juga untuk meneruskan ayatnya.

"Dia nak ambil Batrisya menjadi isterinya"
Batrisya yang sedari tadi mendiamkan diri terkejut. Mungkinkah dia tersalah dengar? Ah! Tak mungkin!
" Dia nak Batrisya menjadi suri hidupnya. Dia nak Batrisya jadi makmum yang akan dia imamkan di setiap solatnya. Dia nak Batrisya menjadi ibu kepada anak-anak yang bakal dia azankan nanti. Dia nak Batrisya jadi isteri yang akan dia bimbing dalam mengejar redha Ilahi"
Mengalir deras air mata Batrisya mendengar kata-kata lelaki separuh abad yang berada di depannya itu. Sungguh tidak pernah dia menyangka bahawa jejaka seperti itu akan memilih wanita sepertinya.
"Tapi, Abah, Batrisya tak"
Dia tidak segera menghabiskan kata-katanya. Pasti ayahnya sudah tahu apa yang bakal dia katakan.

" Jangan begitu, nak Dia ikhlas. Dia terima Batrisya seadanya. Abah tahu dia akan pimpin kau dengan baik, nak. Abah yakin pada dia. Jangan kau tolak lamarannya hanya kerana kau fikir kau tidak layak buatnya. Kerana kelemahanmu itulah kau perlukan pemimpin sepertinya. Percaya cakap abah, nak. Jangan sampai kau menyesal di kemudian hari"
Ustaz Jamil mematikan kata-katanyanya di situ. Kini, segalanya ada di tangan Batrisya. Tidak pula dia ingin memaksa Batrisya. Dia ingin Batrisya bahagia.

Merah pipi mulus Batrisya apabila Taufik memberikan kucupan hangat di dahinya pada hari mereka diijabkabulkan. Sungguh tidak dia sangka lelaki yg baru dia temui sekali, kini sudah sah menjadi suaminya. Pada saat itu juga, Batrisya merasakan cinta yang begitu besar lahir dari hatinya. Tulus dan suci buat Taufik satu-satunya.
Di dalam hati dia mengucapkan syukur yang tidak terkira tingginya ke hadrat Ilahi kerana menghadirkan seorang insan mulia dalam kehidupannya. Semoga dengan kehadiran lelaki mulia yang kini bergelar suaminya, mereka sama-sama dapat menjejak dan mencari cinta yang paling agung itu. Cinta yang tidak ada tandingnya. Cinta Ilahi.

Di dalam hati kecilnya berbisik.
"Kaulah kebahagiaanku ketika di dunia. Kau jugalah kebahagiaanku nanti di sana. Redhakanlah aku menjadi isterimu. Agar kita dapat bertemu dan bercinta semula di syurga." Mengalir air mata kasihnya tatkala merenung cincin di jari manis yang menjadi tanda ikatan cinta mereka berdua


sumber: iluvislam.com

Cinta Si Playboy Itu




Zaman remaja sememangnya zaman yang indah dan bahagia buat dia. Zaman di mana dia dipuja dan dipandang tinggi oleh wanita-wanita di sekelilingnya. Dia tersenyum bangga. Berbekalkan wajah yang sempurna, ketinggian yang mantap dan bentuk tubuh yang bisa menambat hati gadis-gadis, dia begitu selesa dengan kehidupannya. Hatinya kini milik seribu wanita yang bergelar 'hawa'.

Untuk apa dia setia? Sedangkan rakan-rakannya yang lain kerap dipermainkan wanita walaupun mereka setia. Ada yang sanggup berhabis wang ringgit untuk teman wanita, akhirnya apabila sudah kopak, gadis tersebut meninggalkan mereka terkontang-kanting. Dia sendiri pun apa kurangnya. Sudah dua kali dia dicurangi makhluk yang bergelar kaum hawa itu walaupun dia telah korbankan segala kesetiaan dan kepercayaan kepada mereka.

Sudah dua kali juga dia menetapkan bahawa merekalah yang bakal menjadi permaisuri hidupnya tetapi sesungguhnya semua itu hanyalah sia-sia. Sekarang dia tersenyum puas. Puas kerana dapat mempermainkan hati lima gadis serentak! Dania, Ida, Zurin, Rushaida dan Lisya semuanya dia taburkan dengan janji-janji dan kasih sayang palsu. Andai salah seorang daripada mereka tidak berpuas hati pun dia tidak peduli. Asalkan dia bahagia melihat gadis-gadis tersebut terulit dibuai janji kosong.

Cuaca pagi itu tenang dan damai. Burung-burung bahagia berkicauan. 'Mungkin burung-burung tu pun bahagia sebab ramai awek,' bisik hati kecilnya. Dia tersenyum riang. Hari ini merupakan hari pendaftaran degree untuk pelajar junior. Jika bernasib baik, mungkin akan adalah seorang 'awek' cun tersangkut kat dia lagi. Sedang dia berdiri memerhati gerak-geri junior-junior yang kebanyakannya comel-comel belaka, pandangannya terhenti kepada salah seorang gadis ayu yang sedang duduk memerhatikan jam tangan di tepi kaunter pendaftaran kolej kediaman. Di dalam hatinya, itulah gadis yang bakal menjadi mangsanya seterusnya.


Sejak hari pendaftaran itu, dia bersungguh-sungguh mendapatkan serba sedikit maklumat mengenai gadis tersebut daripada rakan-rakannya dan junior. Hatinya menjadi lebih panas apabila mendapat tahu bahawa gadis tersebut merupakan seorang gadis yang sering mempermainkan perasaan lelaki. Hatinya melonjak untuk mengenali gadis tersebut agar dia dapat mempermainkan gadis tersebut pula! Dia cuba memulakan langkah untuk berkenalan dengan gadis tersebut. Dia mengatur ayat-ayat manisnya yang sememangnya tidak pernah gagal menjerat hati seorang gadis. Setelah seminggu lebih menjengah khabar berita daripada rakan-rakan dan junior, dia berjaya juga mengetahui serba sedikit tentang gadis itu.

Namanya tidaklah seglamour wajahnya. Bukan Aleesya, Aleefa atau Natasya. Nama-nama tersebut adalah nama-nama biasa gadis-gadis cun yang dikenalinya selama ini. Tetapi kali ini, nama gadis yang cuba dikenalinya ini sungguh dalam maknanya. Gadis yang bernama Halimahtussaadiyah ini berasal dari Selangor. Setelah menaburkan ayat-ayat manis seperti biasa, tepat pada tarikh 8 Julai 2004, termaktublah bahawa mereka secara rasmi sudah menjadi sepasang kekasih.

Allah S.W.T Yang Maha Berkuasa tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Dengan termeterainya perhubungan itu, niat yang pada mulanya berunsur khianat telah bertukar sepenuhnya. Perkenalan itu menjadikan mereka kenal akan erti kesetiaan, kasih sayang dan cinta. Tiada lagi istilah playboy dan playgurl dalam diri mereka. Tiada lagi istilah curang, khianat atau mempermainkan hati masing-masing. Dia telah pun memohon ampun dan maaf kepada bekas-bekas kekasihnya di saat zaman playboy nya dahulu. Hatinya kini terpaut kepada Halimahtussaadiyah seorang dan dia tidak berniat untuk bermain-main lagi dalam percintaan.

Episod-episod bahagia telah menjengah hari-hari mereka berdua. Dia yakin pada kata hati bahawa Halimahtussaadiyah lah yang sebenar-sebenarnya jodoh kurniaan Allah S.W.T baginya. Mereka bagaikan belangkas. Ke mana sahaja pasti bersama.

Tetapi lama kelamaan perkara ini menjadi masalah buat mereka. Akibat selalu kelihatan berdua-duaan, mereka telah dipanggil oleh jawatankuasa perwakilan Persatuan Rohani IPTA. Ketika itu mereka tersedar bahawa mereka telah melakukan dosa yang menghampiri fitnah dan zina. Walaupun setakat ini, mereka masih mengawal perilaku mereka, perkara sebegini masih haram di dalam Islam. Sedangkan ber-couple itu juga adalah haram apatah lagi berdua-duaan. Astagfirullahalazim!

Namun mereka sudah terlalu mencintai antara satu sama lain. Setelah berbincang dengan ibu bapa masing-masing, mereka mengambil keputusan untuk bertunang dan bernikah. Bukan mudah untuk meyakinkan ibu bapa pada mulanya namun, mereka tetap bersungguh agar tidak dipisahkan. Maka, tanggal 3 September 2005, mereka pun bertunang. Ketika majlis pertunangan dilangsungkan, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memilih tarikh pernikahan pada bulan Disember 2005 iaitu pada tahun yang sama agar dapat mempercepatkan urusan membina masjid tersebut. Selepas bertunang, mereka semakin menjaga batas pergaulan mereka. Mereka tidak lagi kerap berjumpa kecuali jika terdapat urusan-urusan penting yang terpaksa mereka selesaikan bersama. Namun di dalam hati, masing-masing terasa sangat berdebar-debar menanti ketibaan hari yang ditunggu-tunggu.

Tetapi kata orang, kita cuma mampu merancang. Allah juga yang Maha Menentukan. Tanggal 21 September 2005, iaitu hanya beberapa minggu selepas mereka bertunang, hadirlah suatu peristiwa yang tidak akan pernah dia lupakan selamanya. Tarikh itulah, tarikh dimana nyawa Halimatuhsaadiyah diragut kerana kemalangan jalan raya di Lebuhraya Elite sebaik pulang daripada rumahnya kerana terdapat perbincangan mengenai persiapan perkahwinan.

Halimatussaadiyah meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur tepat pada jam 9.30 malam itu. Kemalangan ngeri itu telah mengakibatkan gegaran otak yang kuat dan menyebabkan pendarahan di dalam kepalanya. Dia yang turut terlibat di dalam kemalangan tersebut hanya patah kaki dan koma selama beberapa jam namun, oleh kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, dia tidak dapat hadir ke pengebumian Halimatussadiyah, seorang gadis yang amat dia cintai.

Saat dia sedar daripada koma, soalan pertama yang terbit dibibinya ialah di mana Halimahtussaadiyah dan bagaimana keadaannya? Bagi mengelak kejutan yang teruk dan atas nasihat doktor, ibu bapanya terpaksa menipu dengan mengatakan keadaan Halimahtussaadiyah stabil dan sedang dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Hari ke enam pada bulan Ramadhan, dia akhirnya dikeluarkan daripada hospital. Sepanjang berada di rumah, dia kerap bertanyakan perihal Halimahtussaadiyah namun, ibu bapanya hanya mampu berdiam diri kerana takut terjadi perkara yang tidak diingini padanya. Akhirnya, ibu bapanya terpaksa meminta bantuan daripada ibu bapa Halimahtussaadiyah untuk membantu mereka memberitahu akan khabar berita bahawa Halimahtussaadiyah telah pun kembali ke rahmatullah dan telahpun selamat dikebumikan.

Sebaik mengetahui bahawa gadis yang dicintainya itu telah pun kembali pada Tuhan yang Maha Esa, hidupnya menjadi semakin tidak keruan. Dia tidak mahu makan, tidak mahu mandi dan asyik menghabiskan waktunya dengan menangis dan meratapi nasib. Hidupnya seakan-akan tidak terurus lagi. Pelajarannya ditinggalkan begitu sahaja.

Tetapi kisah dukanya tidak hanya terhenti di situ. Setelah tiga minggu mengetahui berita bahawa Halimatuhsaadiyah telah meninggalkannya selama-lamanya, dia mengalami masalah hilang ingatan akibat terlalu stress dan terlalu banyak berfikir. Ibu bapanya sudah puas menghantarnya menjalani rawatan di hospital-hospital pakar dan bertemu dengan ustaz-ustaz yang boleh mengubatinya namun masih tidak berhasil. Inilah ujian daripada Allah. Mungkin Allah S.W.T hanya akan mengizinkannya untuk mendapatkan kembali memorinya setelah dia tenang dan redha dengan pemergian Halimatuhsaadiyah.

Alhamdulillah setelah berusaha tanpa jemu, akhirnya pada pertengahan bulan Mac pada tahun 2008, iaitu lebih kurang 2 tahun lebih selepas kejadian tersebut, ingatan dia kembali pulih seperti biasa. Ketika itu, dia telah redha dengan pemergian bekas tunangnya dan berdoa agar roh Halimatuhsaadiyah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman..

Sekarang, dia hanya meneruskan kehidupannya seperti biasa walau pedih untuk ditanganinya. Dia pernah bercerita, di dalam mimpinya arwah pernah hadir dan mengucapkan kata-kata yang telah membuatkan dia tersedar dan melaksanakan apa yang sepatutnya dia lakukan. Di dalam mimpi tersebut, arwah telah memintanya agar tidak berterusan bersedih hati dan terus mencapai impian merealisasikan cita-citanya.

Ajaib bukan? Seorang playboy bertukar menjadi seorang yang setia kerana kehendak-Nya. Seorang playboy diuji oleh Allah untuk menghapus dosa-dosanya. Jika selama ini dia menguji hati gadis-gadis yang dipermainkannya, kini hidupnya sarat dengan ujian Allah yang Maha Berkuasa. Allah menjadikan sesuatu pasti ada hikmahnya. Dipinjamkan oleh-Nya intan permata namun bisa ditarik bila-bila yang dikehendaki-Nya.

August 21, 2011

Abang Tunggu Mak Di Syurga

Hargai & sayangi orang-orang di sekeliling kita sementara mereka masih bernyawa. Ini merupakan kisah benar dari seorang rakan. Sediakan tisu awal-awal ya...





"Abang,tunggu mak di syurga ya" Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang. Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'. Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati.

Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil abang. Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya. "Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah. Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada tubuh abang. "Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"

Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka. Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang. Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!" Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan. Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang.

Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana. Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak. Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka. Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu? Petang itu, mak duduk di satu sudut di ruang tamu rumah. Mak terfikir tentang soalan mereka itu.

Mak tak tahu nak jawab macam mana. Kemudian, mak nampak sebuah diari di atas para di sudut ruang tamu. Lantas mak capai diari kecil itu. Di dalamnya tercatat peristiwa yang berlaku sepanjang empat tahun dua bulan mak membesarkan abang. Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya. Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir. Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari. Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis?

Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang. Januari 2011- Perut abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman abang sudah rosak,sudah 'reput'. Tak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk abang. 26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah! Hah Hah.. Tergelak mak.Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah, Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur, tapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang abang minta. Mak kecewa!

Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti. Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir. 7 Mac 2011- Keadaan abang makin kritikal. Perut abang semakin besar. Abang tak mampu nak bergerak, lebih banyak terbaring dan asyik sesak nafas. Mak tak tahan lihat keadaan abang. Mak bawa abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan. Mak redha.

Dalam hati mak juga sudah berkata, masa abang tidak lama lagi. Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan abang? Mak jawab: "InsyaAllah, abang akan sihat!" Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tak mahumereka semua lemah semangat jika mereka tahu abang sudah tiada harapan lagi. Mereka pun sama, masing-masing bertarung dengan ujian apabila anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri telan. 13 Mac 2011- Hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan abang. Di rumah, setiap hari mak akan tanya: "Abang nak apa harini?" Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab: "Mak, abang nak naik kereta bomba!" Mak termenung dengar permintaan abang.

Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana? Mak jawab: "Balai bomba!" Sampai di situ, mak minta izin pegawai bomba. Mak kata, abang teringin nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala. Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju abang ke paras dada. Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu: "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'!

Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!" Bila lihat perut abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tak tunggu lama. Terus diacapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu. Dia dukung abang, letakkan ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembiru sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Abang tak perasan, mak palingkan muka lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung. Hari lain, mak tanya lagi: "Abang nak apa?" Abang jawab: "Abang nak naik lori sampah!" Mak dukung abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu. "Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?" Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak.

Kemudian, mak angkat baju abang dan beritahu perkara sama. Berubah mimik wajah mereka. Segera mereka angkat abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup lihat abang lama-lama. Sedih agaknya. Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Abang kalau nak tengok gajah, mak bawa abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa. Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung abang. Abang kata nak tengok burung, mak bawa ke taman burung. Abang kata nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja abang nak peri,semuanya mak tunaikan!

Setiap hari juga mak tanya abang nak makan apa. Macam-macam abang teringin nak makan. Martabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung, rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikanwalaupun makanan itu abang pinta pada pukul 3.00 pagi! Apa saja yang teringin oleh tekak abang, semua mak cari walaupun abang sekadar menjamahnya sesudu dua. Apa saja abang pinta, kami tunaikan. Mak tahu, mak faham, masa abang bersama mak dan abah semakin suntuk! 27 Mac 2011-

Abang semakin kritikal! Nak bercakap pun terlalu lemah, apatah lagi untuk bergerak. Mata kuyu, hanya terbaringsambil memeluk Aina, anak patung kesayangan abang. Mak ajak abah bawa abang ke hospital. "Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!" Itu kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal. 5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama kakak yang sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan kakak pulang. "Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!" Itu kata-kata mak pada cikgu dan akak diizinkan pulang pada hari ini.

Kemudian, Dr. Adura. , doktor yang sinonim merawat abang datang melawat. Mak memang rajin bercerita dengan Dr. Adura. Kebetulan mak ceritakan yang mak terkilantak dapat tunaikan permintaan abang mahukan kek berbentuk lori sampah. 7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat abang. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk abang tengah hari ini. Rupa-rupanya, tengah hari itu datang tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura membawa kek lori yang abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sanka, Dr Adura tulis di dalam blognya kisah abang dan ramai yang mahu menyediakan kek yang abang pinta. Sekali lagi, para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk abang. Tapi abang kurang ceria, wajah abang tampak letih dan nafas abang turun naik. 8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tapi abang sekadar lemah.

Abang sekadar terbaringmerenung kek itu. Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah abang, bacaanya meningkat naik. Tapi hati mak dapat rasakan abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan abang di dalam bilik. Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah abang, mak peluk dan usap rambut abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil. Dalam tangis itu, mak katakan pada abang: "Mak tahu abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu abang nak pergi. "Jangan tahan-tahan abang. Pergilah. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa saja hajat yang abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan abang dalam hidup mak walaupun seketika!"

Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Dan mak berjanji tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia Abang pada tahun 2007. 9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa abang dah dekat sangat. Mak lihat abang dah kritikal. Wajah abang sudah tampak biru, lebam! Dada berombak, tercungap-cungap menarik nafas. Abang dah tak mampu bercakap lagi sejak malam tadi. Makan minum pun tak mahu. Pakul 8.00 pagi, abah dan kakak sampai. Mak suruh kak long bacakan Yaasin di sebelah abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya. Pukul 3.00 petang, abang makin lesu. Lantas mak ajak abang keluar berjalan-jalan. "Abang, nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!" Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi abang hanya minum seteguk. Kemudian, abang lentukkan kepala pada bahu mak. "Abang, tu tengok kat luar tu? nampak taj sinar matahari tu? Cantikkan?" Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu. Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap. "Abang ngantuk!" Itu kata abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak.

Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang. "Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja." Mak tahu, masa abang sudah hampir tiba! Sampai di wad, mak baringkan abang atas katil. Dan abang terus merintih dalam nada yang lemah: "Makkk..sakit perut..!" Dan abang terus memanggil: "Makkkkk!". Suara abang perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi abang. "Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan abang pergi. Mak halalkan segala makan minum abang. Mak halalkan air susu mak untuk abang. Pergilah abang. Mak izinkan abang pergi!" Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalammata abang yang semakin kuyu.

Saat abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup abang selagi abang masih bernafas. Mereka kucup pipi abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis. "Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu abang dengar kamu menangis! Jangan seksa abang dengan tangisan kamu!" Mak marah mereka buat begitu pada abang. Mak tak mahu abang lihat kami menangisi pemergian abang. Mak tahu, abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput abang. Mak tak mahu tambahkan lagi kesedihan abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya. Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.

"Pergilah abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah..!" Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas... Pukul 3.50 petang, akhirnya abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillah... Mak kucup dahi abang. Mak bisikkan di telinga abang: "Tenanglah abang di sana. Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!" Abang, sekarang mak dah dapat jawapanyya. Mengapa mak tidak menangis? Pertama, abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti. Kedua, apa saja keinginan abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak. Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk abang. Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi abang dan menggembirakan abang setiap saat dan waktu. Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan. Mak telah beri segalan-galanya melebihi 100% untuk abang. Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tak perlu menangis lagi. Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa abang ta[i... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar. Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahan seawal usai dua bulan dan ada antara pembedahannya gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidka lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).

Surat Cinta Mencarut Tahap Infiniti 4

Ni sebenarnya prequel kepada Surat Cinta Mencarut Tahap Infiniti 1, 2 dan 3. Sebelum single, Zila Bakar Rin dah in relationship dengan Zamri Rockers. Alah, anak sepupu sedara belah mak kepada jiran sebelah rumah depan sekolah anak Pak Abu yang selalu beli karipap kat warung Kak Limah rumah sebelah Husin tu...




Wahai Zila yang kita dari dulu hingga sekarang ni,lepas ni tau la kite sayang ke tak...

Kite kan... Kita kan... dah nekad dah, kita dah fikir masak-masak kentucky rice chicken dah, siap buat survey lagi ngan jiran-jiran, penduduk kampung sebelah. Setelah membuat statistik dan kira-kira walhal kite ni nombor pun tak habis hafal lagi, cuma tau 'banyak' dan sikit' tu macam mana je, kite nak putus ngan ayang. Sebabnya, abang dah buat listdown dah. Kite dah berkorban banyak benda kat ayang, tapiu ayang buat-bua sengal je, walaupun kite tau yang ayang ni memang sengal-sengal ayam terberak liquid paper. Tapi dah ayang tu kesian je kite tengok takde lelaki nak, yelah sengal tahap mangkuk free kalau beli Maggie kan, sapa yang nak. Bagi kat lembu pun, lembu sanggup single sampai ke titisan susu yang terakhir. Cheh, madah merhelah pulak kite kali ni. Mesti ayang tak paham kan? Ayang kan sengal, mana nak faham...


Apa kabar ayang di sana? Harap-harap ayang sihat disana. Kalau sakit, jangan lupa makan ubat gegat rendam dalam Coca Cola 5 biji sehari. Lagipun, kalau ayang sakit pun, bak kata mama kite, ADA I CARE??? Mak aih, bahasa rojak dia mengalahkan rojak buah Kak Peah depan Giant tuh.
Abang kat sini sihat-sihat aja. Makin hensem, makin taf, makin laku. Hotstuff la katakan.


Hari tu ayang tanya tang mane kite sayang kat ayang. Timetu kite tak dapat nak jawab. Semalamayang merajuk ngan kite, kite dah penat nak layan. Ayang call kat kite, kite malas nak jawab. Tang maner ek kite sayang kat ayang? Semalama nkite duk pikir soalan tu. Pernah ke? Maybe tak sedalam cinta Titanic atau Taj Mahal, atupun mungkin sekadar Cinta Muka Buku. Sayang kite kat ayang sangat la kerdil, lebih kerdil dari virus H1N1. Pernah jugak kite tanya sama pokok, tapi jwabnya angin yang goncang. Tak tahula kite nak jawab macam mana,setahu kite:

1. Sebelum kite kenal kat ayang, setiapsem kite dapat Anugerah Dekan. Bile dah kenal ngan ayang, setiap sem kite repeat paper. Sebelum kenal ngan ayang kite belajar pakai duit biasiswa, lepas kenalngan ayang, keluar makan lagi nak mintak duit ngan emak kite. Nasib baik la mak kite ni loaded. Kalau tak cukup gak, kite terpaksa jual jet peribadi kite yang berjuta-juta bijik tu. Buakan nak show off, tapi kenyataan.

2. Kalau ade 1 buah epal, kite bagi je kat ayang Kalau ade 2 buah epal, kita bagi yang besar kat ayang. Tapi kalau ada chewing gum tu, ayang bagi kite saki baki yang ayang dah kunyah tu. Kite telan jugak sisa-sisa taik gigi ayang yang tak berapa nak senonoh tu. Yang ayang tau, ayang come first, then kite. Kalau ayang die first, takpe gak, cepat-cepat kite cari aweks hot chickaro tahap gaban.

3. Kalau kite makan ikan, ayang makantang badan ikan tu, kite pula makan tang kepala ikan tu je. Kalau ada isi tkpe gak, ni keras macam batu je kepala ikan tuh. Kalau kite baling kat dinding tu, mau roboh bangunan tu. Sekarang ni abang terpaksa pakai braces sebab gigi dah tak kuat sangat. Selalu sangat bubuh gam UHU nak tampal gigi tu.

4. Ayang ni tak la cun sangat, tapi kite tak pernah kutuk ayang tak cun. Tapi kite yang hensem ni ayang lagi nak kutuk ngan member depan kite, kata kite tak hensem langsung. Eera Fazira berlalu depan mata, kite diam je. Takut kalau puji kang ayang marah. Mat Indon duk depan Sogo ayang gi ngorat time kite gi tandas. Siap mintak nombor tepon depan kite lagi. Nasib tak mintak profile fb, sebab kite dah tukar dah password ngan profile picture tuh...

5. Kalau keluar ngan ayang, ayang slambe nak makan Starbucks, kite tipu kite dah kenyang, padahal bile dah sampai kat umah kite makan mee maggi. Tu pun mi maggie semalam yang anak kucing kite tak jadi nak makan lepas kite bubuh ubat jentik-jentik.

6. Sebelum kenal ngan ayang., kite tak pernah ade girlfriend. Selepas ayang kenal ngan kite, genaplah koleksi ayang ada 100 boyfriend kesemua nya. Kite tak pernah marah ayang plagirl, dah tu ayang kata kite ni cam bundle. Excuse me, bundle pun, kalau hot stuff berbaris tau aweks nak kat kite. Jennifer Lopez ngan Megan Fox tu dulu pernah gak nak usha kiteg, siap bagi abang jet peribadi ngan kereta kebal sebijik ladi diorang tu. Tapi kite tak nak, sebab kite tak minat nak tangkap lentok ni sampailah kite tertangkap cintun ngan minah sengal cam ayang ni. Menyesal lak rasa nih...

7. Kalau ayang rasa nak cium kite, ayang cium terus tak pernah tanya pun. Tapi bile kite rasa nak cium ayang, lepas tanye lagi memang nak kene reject. Kite bukan apa, kite tanya je nak pakai apa, Colgete ke, Drlie ke, Listerine ke, paling cikai pun, Dentyne ke... Bukan apa, gigi ayang tu dah macam tembaga peninggalan keluarga abang dah abang tengok. Bau tak usah cakap, macam nak sembur guna ridsect je bagi nyamuk gan lalat lam mulut tu mati.

8. Ayang selalu pukul dada kite, tampar muka kite, cubit peha kite. Apa ingat badan kite ni polisterin ke apa nak digumpal-gumpalnya begitu? kite tak pernah tengking sekali pun, apatah lagi nak cubit, nak tampar, nak pukul. Tapi kalau terajang ke, fly kick ke, smackdown ke, kite berani la. Tunggu masa je lagi kite nak lumatkan ayang macam smoothie.

9. Pernah ayang tanya kalau ayang jatuh cinta ngan laki lain, kite nak buat ape. Kite kate kite nak bunuh laki tu. Tapi bile kite tanya kalau kite jatuh cinta kat pompuan lain, ayang nak buat ape, ayang kata nak bunuh kite, emak kite, ayah kite ngan nenek kita, dengan jiran-jiran kite skali lak tu. Memang dasar sardin cap highlighter. Patutlah muka ayang ni macam muka pembunuh bersiri je kite tengok.

10. Kite beli mask Clinique ngan ayang harga RM300 kite kate harga RM30. Ayang beli jam tangan kat kite harga RM30 ayang kate harga RM300. Jaangan nak tipu la, setakat jam yang boleh dapat free dalam Tora-Tora tu takyah la nak kelentong kite. Tapi kite sabar je, ye lahkan budak hensem kena sabar. Nasib baik kite pernah balas dendam ngan ayang, kita tukar isi Clinique tu ngan Colgate campur Clorox. Pastu menggerutu macam jalan depan rumah kite je muka ayang. Sukanya ati kite pada massa tu~

11. Setiap kali berjumpe kite bagi hadiah kat ayang, tapi setiap tahun birthday kite ayang kate dah lupe. Walhal 99 orang ex ayang, ayang ingat pulak. Siap post kat facebook lagi. Kite? Ayang bagi chat je, itupun, "hi. how r u? wanna laugh?" Pastu terus takleh bukak lagi dah laptop kite ni.

12. Kite rosakkan headphone walkmen ayang, kite ganti satu discman baru. Ayang rosakkan kerete kite, ayang buat derk je. Kadang-kadang tu rasa macam nak carik-carik je badan ayang jadi alas tayar. Pastu bulu mata yang tercacak macam chopstick tu kite wat wiper kereta. Geram nye, nak marah takleh, sebab nak marah apanya, dah ayang sengal. Marah pun takde guna.

13. Sekali ayang demam, kite kene diet 2kg nak jaga ayang. Sekali kite demam, ayang tambah berat 2kg sebab abiskan makanan kite. Sampai licin ayang kerjakan makanan kite. Siap sendawa punya la kuat, sampai speaker ngan INTERKOM kat hospital tu rosak dek sendawa ayang tahap puaka basi tu.

14. Kite tak pernah kata ayang pendek, ayang marah kite tinggi sangat, member ayang ketawakan ayang. Nak buat cemana, kite dah suruh dah ayang makan Calci Yum, ayang tak nak, nak gak makan dedak ayam blended tu. Mananya tak tinggi, makin melebar macam ayam adalah.

15. Ayang datang umah kite, kite tido sofa, kite datang umah ayang, kite gak yang tido kat sofa. Pulak tu, sofa yang keras kematu lak tuh. Kalau cenggini la selalu, boleh osteoporosis kite ni tau tak. Cuba le beli sofa kat Courts Mammoth tu, sekarang tengah promotion, selesa sikit. Ni sofa dibuat dari kilang besi mana tah family ayang beli kite pun tak tau.

16. Mak kite siap belikan rantai Tiffany ngan ayang masa dinner. Mak ayang tak pernah pun ajak kite makan kat umah ayang walau sekalipun. Nak belikan rantai kapal jauh sekali. Tahulah kite ni hensem sampai family ayang malu nak ajak kite gi dinner. Makan cekodok sebijik pun jadilah. Ni tak, apa pun tak boleh~

17. Kucing umah kite bersalin, kite bagi anak kucing yang paling cute kat ayang, 2 hari je ayang bela, kucing tu dah mati. Ayang tak kate pa pe pun. Ayang bagi ikan emas yang dah dekat nak mati kat kite, 2 hari kite bela dah mati. Ayang kata nak bunuh semua anak kucing kite. Kenapa ayang ni sadis sangat? Tak berperikebinatangan betul.Nasib baik kite tak suoh ayang bela anak gorila ke, godzila ke, dinasour ke, kalau tak maunya koma diorang tu ayang kerkah. Asyik nak put da blame on kite je, kemon laa~

18. Ayang kalau nak pakai duit kite, terus ambil takyah bagitau. 30 ke 80 ke seratus ke selagi wallet kite ade duit. Apa,ingat duit tu turun gedebak dari langit ek? Banyak huduh muka ayang? Aritu kite nak pinjam 10 ringgit sebab terlupe bawa wallet, ayang kate kite kedekut. Kite bukan kedekut, kite cuma nak save bajet nak beli cincin nak propose ayang, tapi takpe la, kite propose guna cincin kat key chain tu je la. Lagi murah, kalau hilang pun, boleh beli baru...

19. Birthday ayang kite tak pernah terlupe. Birthday kite arini ayang tak pernah ingat. Betapa sedihnya abang celebrate birthday abang hanya dengan makan sardin King Cup, tu pun berebut dengan kucing entah sape punya tah. Nasib baik abang dah goreng kentucky kucing tu tadi, ada gak santapan yang mengenyangkan. Siap berlatar belakangkan lagu Awan Nano Nano Nano Nano Nano lagi~



Kite arap ayang buat muhasabah diri tu. Bak kata pepatah, tampar muka tanya sakit tak? (sebenarnya tepuk dada tanya selera, tapi sebab bulan pose so, kalau pukul dada tu kompom pecah puasa, sebab tanya selera... hehehe... ayang tak pose kan? kan? kan? kan? Ahaaa.... tak pose! tak pose...) Maaflah, ini adalah episod terakhir bagi sisa kisah cinta kita. Usah menangis lagi, kerana ayang hanyalah niskala bagi kite. Cinta pada Tuhan adalah cinta teragung buat kite setakat ni sampai bila-bila. Mungkin cinta kita ni cinta dongeng saja. Kisah hati kita tertutup di sini. THE END...



P/S: Jangan cari kite kat rumah or facebook. Sebab masa ayang baca surat ni, kite dah terbang ke Madagascar, kerja sambilan ngan Jack Sparrow. Ayang takkan dapat add kite lagi sebab kite dah block dah ayang dari laman muka buku ni. Semoga ayang sengal selalu. Banyak-banyakkan makan kismis ek?

Salam dari insan hot,
ZAMRI ROCKERS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...