Pages

Showing posts with label Edisi Aidilfitri. Show all posts
Showing posts with label Edisi Aidilfitri. Show all posts

September 4, 2011

Jalan Ini Pilihanku




Berapa kali aku kata aku bukan belajar di London ! Aku belajar di Swansea , di salah satu tempat di Wales !

‘ Aku dah bilang kat hang banyak kali dah! Kalau pergi London tu jangan buat perangai tak elok! Jangan malukan mak ayah! Kau pergi sana untuk belajar. Bukan untuk jadi pendakwah!’

Swansea ayah, Swansea ! Bentak hatiku. Aku tak mengerti mengapa semua orang Malaysia menganggap jika belajar di UK itu maksudnya adalah belajar di London .

‘ Tak mengapa Sham, aku dok belajar di Ireland ni pun mak aku kata aku belajar di London.’ Teringat kata-kata Izzul, teman serumahku di saat kami berbual.

Aku mengeluh di saat gagang telefon belum ditutup. Ayah masih meneruskan ceramahnya yang panjang lebar. Terasa bingit apabila suara garaunya menembusi gegendang telingaku.

‘ Aku dah bilang kat hang, dok London tu belajar. Buat apa nak enjoy-enjoy sangat. Bukan senang nak pergi overseas itu, tahu? Semua orang kampong ni tahu yang anak ayah pergi London . Mana aku nak letak muka jika kau balik tak bawak apa2 selain bini kau tu je?’

Dia masih tidak berkata apa-apa. Membiarkan si ayah memuntahkan segala isi hatinya yang terbeku. Padanya ayah tidak mengerti apa-apa yang dialaminya di bumi berhawa dingin itu.

‘ Usrah-usrah tu bukan tak bagus. Aku suka anak aku jadi anak soleh. Tapi jangan sampai berlebih-lebihan. Jangan sampai kau tak study langsung. Nak belajar Islam itu belajar juga, tapi janganlah berlebihan. Islam itukan wasatiah. Berpada-pada. Kita jangan terlalu ekstrim. Biar Islam kita Islam hadhari’

Teringat dulu ayah pernah bertanya kepadaku erti wasatiah. Dia jumpa dalam buku kitab kuning katanya. Aku katakan itu bermakna berbuat sesuatu biar pada kadarnya, tidak berlebihan dan tidak berkurangan.

‘ Ayah memang kecewa dengan kau, Sham. Kau tak kasihan ke pada mak ayah. Macam mana nanti kami nak tanggung malu jika kau balik tak bawak apa-apa? Kau nak cari kerja macam mana nanti? Nak tanggung anak bini kau lagi. Kau nak kasi mereka makan pasir ke?’

Aku merenung lantai di bawah telapak kakiku. Kosong. Di sisiku, bidadari yang menerangi rumah tanggaku duduk bersimpuh sambil menanti-nanti ucapan dari bibirku. Kasihan dia, tentu dia gundah melihat reaksiku berbicara dengan ayah di balik telefon.

Setiap kali aku mahu menjawab kata-kata ayahku, si bidadari menyentuh lembut bahuku dan membuka ayatNya yang menyirami api amarah hatiku;

‘Dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa.Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah keduanya perkataan yang baik’ ( Al-Isra’: 23)

Benarlah sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Aku melirik dengan hati yang tenang pada wajah bercahaya si bidadari. Dia bukanlah dikalangan wanita yang dikatakan sebagai jelita. Hidung sedikit sepet, kulitnya sawa matang dan ada pancaran-pancaran jerawat di mukanya. Badannya sedikit gebu. Tapi aku tidak melihat kesemua itu kerana di saat aku ditanya oleh abang usrahku akan kriteria calon isteri pilihanku, jawapanku hanyalah; dia seorang akhwat yang mengikuti tarbiyah dan melaksanakan ajaran Islam. Sehingga ke hari ini, aku tidak pernah menyesal membuat pilihan itu.


‘Ayah…’ ujarku dengan nada yang lembut sambil menahan gelojak di hati yang tersinggung dek tuduhan-tuduhan si ayah.

‘Ayah, Hisham sebenarnya bukan fail exam keseluruhan ayah. Hisham cuma fail satu modul sahaja.’

‘Sama jelah . Kalau dah fail tu fail juga…’ Ayah memotong.

‘Bukan begitu. Maknanya Hisham boleh ambil balik modul itu dan lulus. Tak perlu pun nak kena ulang tahun.’

Aku membayangkan betapa terkejutnya ayah tatkala menerima surat keputusan peperiksaanku di kampung. Ditambah lagi abang sulungku pulang dari US tanpa membawa balik segulung ijazah. Hanya sebatang kara. Kini dia hanya menolong ayah menguruskan kedai runcit di kampung. Sedangkan dahulunya abang adalah pelajar terbaik sewaktu sekolah menengahnya.

‘Abang ikut tabligh kot, Angah.. Balik rumah asyik pakai baju putih je’ begitu kata adik bongsuku tatkala ditanya. Abang enggan berbicara denganku. Aku sendiri tak mengerti kenapa. Mungkin berasa malu.

Barangkali kerana itu ayah melenting dan terkejut. Tapi Hisham tak ikut tabligh ayah! Hisham ikut tarbiyah!

‘Modul periksa itu modul terakhir Hisham kena ambil. Tapi waktu periksa hari itu, Hawa dan Hisham kene demam panas. Hisham pergi juga ambil periksa waktu itu, walaupun tak dapat nak jawap soalan periksa betul-betul.’
Ayah berdengus kasar. Seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapanku.

‘Apapun, ayah tak nak kamu gagal lagi. Kamu kalau ikut-ikut usrah pun jangan sampai tak belajar. Kita biasa-biasa sudahlah. Tak perlu sampai nak jadi pendakwah.’

Kadang-kadang aku kecewa mengapa ramai menganggap bahawa faktor utama kegagalan seseorang yang aktif menghadiri pertemuan-pertemuan ilmu itu adalah kerana kesibukannya. Ramai lagi manusia yang gagal dalam pelajaran tapi mereka itu sibuk dengan kefoyaan mereka berhibur serta menghabiskan masa dengan perkara yang langsung tidak berfaedah.

Pertemuanku dengan seorang sahabat yang memberi cahaya kepada kehidupanku kini adalah pertemuan yang paling membahagiakan hidupku. Sahabat itulah yang menjadi naqib usrahku dan menjodohkanku dengan Hawa. Saat aku jatuh cinta dengan tarbiyah, saat itulah aku mengetahui erti kepada makna kehidupannya di atas muka bumi ini.

‘Kau sanggup berkorban duit dan masa semata-mata nak pergi usrah Sham? Get a life man! Takkan masa muda kau ni nak habiskan masa baca Quran je?Kau tak bosan ke dengar ceramah-ceramah ?Ke hulu-hilir pergi entah kemana-mana entah. Kau boleh tolak tau kalau orang ajak kau. Kau jangan paksa diri Sham,’ Itulah kata-kata teman serumahku di kala mereka selalu melihat aku hilang dari bilikku.

‘Tapi aku tak jumpa ketenangan dan kebahagian bila aku buat apa yang kita buat selama ini. Usha awek cun, main game, tengok wayang dan lepak-lepak. Mula-mula aku rasa best lah. Tapi lama-lama aku rasa boringlah.Hidup takde tujuan. Buat camtu pun aku rasa buang duit dan masa juga.’

‘ Kau memang dah berubahlah, Sham.’ Dan di saat itu, aku mula merasakan hubunganku dengan teman serumahku semakin renggang. Nyata jalan kami adalah dua jalan berbeza. Pemikiran kami berbeza. Kesukaan kami begitu juga.

Aku berasa bahagia tatkala berjumpa dengan teman seperjuanganku namun aku sedih melihat teman serumahku masih leka dengan kefoya-foyaan sementara. Duhai teman, jika dikau mengetahui betapa nikmatnya jalan yang berliku namun penuh cahaya ini tentu kamu takkan tersilau dengan hiburan sementara di atas dunia ini. Kehidupan yang kau lalui sekarang ini adalah jalanyang gelap, yang tidak bermakna apa-apa walaupun kelak kita sama-sama pulang membawa segulung ijazah, kerana kehidupan sedemikian menjanjikan suka sebentar, tetapi duka selamanya di akhirat nanti.

‘ Dan sungguh akan Kami isikan neraka Jahanam dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati,tetapi tidak mempergunakannya untuk memahami dan memiliki mata tetapi tidak melihat dan memiliki telinga tetapi tidak mendengar. Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi,’ ( Al-A’raf: 7)

Aku berdoa agar keluargaku dan sahabat-sahabatku akan mendapat pancaran hidayah ini. Aku berdoa agar mereka menyintai ilmu, menyintai Islam dan mahu beramal dengannya. Kerana hidup di bumi UK ini, perbezaan antara kafir dan Islam adalah terang dan jelas. Minum arak, pergaulan bebas, pergi kelab malam dan makan babi adalah nyata perkara haram. Tetapi di Malaysia sangat sukar untuk menilai manakah Islam manakah yang bukan kerana orang Islam sendiri minum arak, pergi ke kelab malam dan berfoya-foya. Oleh kerana itu tidak hairan jika ramai graduan luar negara apabila pulang ke tanahair akan lebih dekat dengan Allah, kerana keadaan kehidupannya menjadikan dia sedemikian. Dia memerlukan Allah untuk hidup. Dia memerlukan Allah untuk menjadikan dia kuat menahan cabaran kekufuran. Sebab itu di saat sahabat-sahabat seperjuangan mengajaknya untuk belajar tentang agama Allah, hatinya tidak menolak, kerana dirasakan bahagia di saat hatinya dekat dengan Allah. Dan dia buntu memikirkan bagaimanakah lagi dia boleh membawa teman serumahnya mengikuti jalan yang dia ikuti kini.

‘ Wahai orang-orang yang beriman. Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu,’ (Anfal:24)

Kerana itu Hisham ikut usrah ayah! Kerana Hisham mahu merasai cahaya itu! Dan Hisham mahu orang sekeliling Hisham turut merasai cahaya keimanan tersebut. Kegagalan yang Hisham hadapi sekarang ini bukanlah kerana kesibukan Hisham tapi adalah semata-mata kerana Allah mahu menguji Hisham. Sebab semakin Allah sayangkan hambanya semakin Allah berikannya ujian. Jangan ayah salahkan usrah hanya kerana Hisham gagal!

Mahu sahaja dilontarkan kata-kata itu kepada ayahnya yang separa uzur. Dia mahu ayahnya memahaminya walaupun sukar. Dan dia berazam untuk berbakti kepada ayah tatkala dia pulang nanti. Dia mahu tunjukkan bahawa apa yang dia dapat di negara orang putih ini adalah perkara yang terbaik pernah berlaku pada dirinya.

‘Abang…’ Lamunannya terhenti selepas sahaja dia meletakkan gagang telefon.
‘Result abang dah dapat dah ini..’ Siti Hawa berlari-lari anak sambil membawa sampul putih ke arahku.

Aku membuka sampul itu dengan penuh hati-hati dan perlahan-lahan..
‘Alhamdulillah….’ Sambil menoleh ke arah isteriku dengan senyuman penuh makna.
Pantas jemariku mengambil telefon kelui di atas katil sambil menekan punat dial.
‘Assalamualaikum ayah, Hisham dapat first class honor.….’

Dan di saat itu dia merasakan bahawa angin-angin sepoi bahasa di luar sana turut merasai keriangan hatinya…

Sahabat Sejati




Hayati mengemas pakaiannya ke dalam "back-pack"nya, sementara menunggu laptopnya "turn-off". Kemudian, dia memperosokkan sahaja laptopnya ke dalam "back-pack"nya. Zuraida, teman sebilik Hayati memasuki bilik sambil membawa secawan kopi yang baunya semerbak sehingga memenuhi atmosfera bilik mereka.

"Awak tak tido umah malam ni ke?" tanya Zuraida.
Hayati sudah mengagak pertanyaan tersebut, lalu tersengih sahaja.

"Huhu.. Sedihnya saya tinggal sorang-sorang lagi dalam bilik malam ni, tak de orang nak tolong segarkan saya kalau mengantuk masa study," Zuraida merengek.

Hayati memakai tudungnya, sambil meniup-niup bucu tudungnya supaya kemas. "Alah awak ni, tiada keupayaan dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah. Doa la banyak-banyak supaya Allah segarkan awak. Kadang-kadang, saya ni menggalakkan awak tido lagi ade lah."
Zuraida mencebik. "Awak tido rumah sape pulak malam ni?"

"Rumah, err.. rumah.. Huda." Hayati teragak-agak ingin menyebut nama Huda, kerana ini merupakan kali ke 3 dalam minggu itu Hayati bermalam di rumah Huda. Huda merupakan junior kepada Hayati, dia merupakan seorang muslimah yan gmempunyai keperibadian yang tulus, walaupun masih belum memahami tanggungjawab dakwah dan masih belum memahami sepenuhnya erti islam yang syumul.

Sejak Huda baru sampai ke bumi "Down Under" ini, Hayati telah pun menjalinkan hubungan akrab dengannya. Maklumlah, sayanglah sekiranya jiwa yang baik disia-siakan potensinya.
"Awak nak ikut, Zuraida?" Hayati cuba menghangatkan suasana.
Muka Zuraida terus berubah ceria, "Boleh juga!"

Walaubagaimanapun, ada konflik yang berlaku di dalam diri Hayati, dia dapati dalam dia memenangi hati mad’unya, kadang-kadang dia terasakan seperti mengabaikan hak sahabat-sahabatnya yang lain. Walaupun begitu, sahabat-sahabat serumahnya sangat "supportive", dan sering memberi kata perangsang, serta ada kalanya sekiranya Hayati tidak sempat melaksanakan tugas mengikut "duty roster" rumah, pasti ada sahabatnya yang lain akan membantunya, terutama sekali Zuraida.

"Tunggu saya kemas barang saya kejap ye!" kelam kabut Zuraida meletakkan cawan kopinya dan terus mengemas barang serta menyalin pakaiannya.
Hayati dan Zuraida berjalan menuju ke stesen bas.
Zuraida melihat jadual bas, "Pukul 5.30 p.m baru bas sampai, sekarang baru pukul 5.15 p.m"
Hayati mengangguk, "Tak pe lah, kita dok sini dulu sembang-sembang"
Zuraida sengih lagi.

"Awak tau tak…" Zuraida memulakan bicara.
"Tak tau, hehe" Hayati berlawak.
"Tak pe lah.. tak jadi bagitau la kalau cam tu.." Zuraida terus merajuk.
"Alah, awak ni.. Saya gurau je.." Hayati cuba memujuk.

Zuraida memaksa dirinya untuk senyum kembali. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini, dia sangat mudah terasa dengan Hayati. Jauh di lubuk hatinya, Hayati merupakan sahabat yang paling dia sayang di kalangan sahabat-sahabat serumahnya. Mungkin kerana itu dia mudah terasa dengan setiap tindak-tanduk Hayati. Namun begitu, Zuraida merupakan orang yang pandai menyembunyikan emosi di sebalik senyumannya yang kelihatan tenang.





"Awak tau tak, dalam banyak-banyak kawan kita.. Awak la yang paling saya….." belum sempat Zuraida menghabiskan ayatnya, tiba-tiba kedengaran bunyi hon dengan suatu suara kuat.

"Assalamualaikum.. Nak pegi mana tu?" Rupa-rupanya Sufiah. Sufiah "pull-over" kereta kecilnya yang berwarna merah. "Hayati, Zuraida.. Naiklah kereta saye ni. Tak sudi ke naik kereta buruk ni"
"Kami nak ke North Melbourne, are you heading that way as well?" tanya Hayati.

Zuraida yang belum sempat menghabiskan ayatnya, terkejut dengan kedatangan Sufiah. Zuraida tergelak kecil di dalam hatinya, dia terbayangkan Sufiah ibarat Mr Bean yang memandu kereta kumbang. Perbualannya dengan Hayati termati begitu sahaja.

"Come in, come in. Have a ride. I’m heading to Docklands. Boleh drop korang kat North Melbourne." Kata Sufiah.

Dalam kereta, Sufiah memasang lagu UNIC, Sahabat Sejati. Zuraida yang duduk di belakang tiba-tiba membuka bicara, "Yati, ni lagu untuk awak." Hayati senyum, "Terima Kasih". Sufiah pula mencelah, "Saya ni tak de orang nak dedicate lagu ke?". Ketiga-tiga orang sahabat tersebut tertawa.

Zuraidah memandang Hayati yang sibuk berceloteh bersama Sufiah. Zuraida mengalihkan pandangannya ke luar. Lagu terus berkumandang,

"Ku biarkan pena menulis
Meluahkan hasrat di hati
Moga terubat segala
Keresahan di jiwa
Tak pernah ku ingini"

Mungkin Hayati tidak mendapat mesej yang ingin disampaikan oleh Zuraida.

Zuraida sangat bersyukur kepada Allah, kerana mengurniakan seorang sahabat yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Hayati merupakan sahabat fillah yang pertama yang Zuraida kenali. Hayati banyak memberi sokongan kepada Zuraida di dalam pelajaran, maklumlah Hayati pelajar yang cepat tangkap pelajaran. Namun begitu, sejak mereka melangkah ke tahun dua universiti, dan sejak mereka menerima kedatangan adik-adik baru, mereka jarang dapat menghabiskan masa bersama sepertimana dahulu. Zuraida sangat khuatir sekiranya dia ketinggalan, dari segi pelajaran, dari segi dakwah, dari segi tarbiyah, dari segi bilangan mad’u, dari segi segala segi.

Zuraida terus memerhatikan Hayati, ditenungnya sahabat itu puas-puas dan berdoa di dalam hatinya, "Ya Allah terimalah segala amal sahabat ku ini, dan ikhlaskan dia. Dan kuatkan dia sekira dia berasa lemah, dan ikhlaskan dia tatkala dia mengharapkan sesuatu selain Engkau"

Tiba-tiba, Zuraida terasa hatinya sangat lapang. Inilah yang dia mahu rasakan, selama ini perasaannya risau, sedih, bercampur-baur apabila Hayati sudah jarang bersamanya.

Benarlah seperti nasihat Kak Elin, "sekiranya kita ada rasa berat hati dengan seseorang, kita segera doakan kebaikan untuk dia, insya-Allah, syaitan yang cuba hasut kita tu akan lari lintang pukang. Dan malaikat pula akan mendoakan perkara yang sama untuk kita."

Ini membuatkan Zuraida tersedar, bahawa kebergantungan yang mutlak itu terletak pada Allah. Dan sekiranya seorang insan itu tidak diberi penghargaan, dia tetap menjadi seperti pokok. Pokok yang menurunkan buah apabila dibaling batu.

Zuraida mahu berlari seperti orang lain, berlari menuju jannah insya-Allah, sama-sama tabah dan kuat dalam membawa risalah perjuangan anbiya’. Tapi, kadang-kadang, dia letih. Kerana lupa mengukur kapasiti diri. Mungkin kerana terlupa, Allah melihat usaha seseorang, dan bukan natijahnya.
Tapi, menjadi kebiasaan manusia. Sangat mengharapkan hasil positif di depan mata.
Zuraida terkenangkan Nabi Nuh, kisah dakwahnya di dalam Al Quran. Di dalam surah Nuh, Nabi Nuh merintih kepada Allah, beratus-ratus tahun, pagi sehingga malam menyeru kaumnya, tetapi hasilnya, hanya menyebabkan kaumnya semakin jauh daripada Allah.

"Ah, masakan aku yang baru setahun jagung dalam dakwah ini, mudah sangat putus asa ," getus Zuraidah dalam hati.
Hayati melihat "rear-view mirror", ternampak muka Zuraida yang serius.
Hayati membisikkan sesuatu kepada Sufiah, dan Hayati membawa keluar "handphone"nya.

Hayati menaip sms, "Salam, Huda. Maaf akak tak jadi ke rumah awak malam ni. Ada hal sikit. Nanti akak hantar pengganti akak pergi umah awak ye, hehe."
Sufiah membuat "announcement", "Baiklah, kita dah sampai Docklands. Selamat makan aiskrim Dairy Bell, jangan lupa saya."

Zuraida tercengang, Hayati turun dari kereta dan membuka pintu belakang, lalu menarik tangan Zuraida. Zuraida tercengang, "Eh, tadi Sufiah kata dia yang nak ke Docklands." Sufiah terus memecut laju ke destinasi barunya. Kereta kecil merahnya berderum hebat.
"Jom la kita makan aiskrim sama-sama. Dah lama tak "outing" berdua," Hayati mengajak Zuraida.

Zuraida akur sahaja. Dia terasa pelik, kenapa tiba-tiba Hayati tidak jadi pergi ke rumah Huda.

Hayati membeli aiskrim Chocolate Chips, dan mengambil 2 batang sudu kayu, "Jom dok kat tepi jeti tu.."





Hayati mula bicara, "Tadi kat stesen bas, awak nak cakap sesuatu kan…."
Zuraida tersenyum sahaja.
Hayati bicara lagi, "Awak tak boleh tipu saya dengan senyum tenang awak nih…."

Zuraida tersenyum lagi. Tapi, senyuman itu diikuti dengan air mata.

"Tadi saya nak cakap lain, tapi sekarang Allah ilhamkan saya untuk cakap sesuatu yang lain kepada awak," kata Zuraida, matanya berkaca-kaca.
Hayati mengangguk, "Cakaplah.."
"Kalau awak nak masuk jannah, jangan tinggalkan saya." Zuraida berkata sambil menahan air matanya yang semakin laju.

Hayati sangat terharu. Dia tidak pernah terbayangkan bahawa ada orang yang akan berkata begitu kepadanya, Hayati tak tahu nak respon macam mana, sedangkan dia sendiri pun terhuyung-hayang dalam perjalanan mencari syurga Allah.


Maksud sepotong ayat Al Quran, " Di hari akhirat, terputus segala perhubungan kecuali orang-orang bertaqwa. " Sungguh mudah untuk bercakap soal ukhuwah islamiyah. Namun nak menzahirkannya payah, apatah lagi hendak mengukuhkannya di dalam hati.

"Saya tahu Allah beri awak banyak kelebihan berbanding saya, moga Allah melindungi saya daripada hasad dan dengki, dan moga Allah menjauhkan awak daripada ‘ujub dan riya’ ," Zuraidah menghela nafas panjang. Aiskrim Chocolate Chips tidak mampu menarik seleranya.
Hayati terpaku. Dia seakan-akan dapat membaca apa yang dirasai oleh kawannya. Benarlah seperti apa yang dia rasai selama ini, tindak-tanduknya yang banyak mengabaikan hak-hak sahabat-sahabatnya mampu mengundang virus ukhuwah.

"Saya nak minta maaf atas salah silap saya. Saya tau saya banyak tinggalkan awak sorang-sorang. I am lost myself. Kononnya keluar berdakwah tapi, banyak yang lain pula saya abaikan," Hayati mula meluahkan isi hatinya.

Zuraidah berkata, "Saya pun minta maaf, asyik kadang cebik muka. Tapi, tak perlu lah kita mengungkit salah silap kita yang dahulu. Apa yang sudah tu sudah.."
Hayati menyambung, "Betul? Kosong-kosong!"
Zuraidah pula berkatai, "Kosong-kosong!"

"Insya-Allah, kita akan saling mengigatkan. Time kena study, kita pulun habis-habisan. Time kena keluar berdakwah, kita mujahadah sehabis baik, jaga amal fardi.. Kejutkan qiyam, ingatkan supaya puasa sunat!" Hayati mula meng"list-out" perjanjian di antara mereka.

"Kena tunai hak pada semua pihak yang ada hak ke atas kita, kena berlapang dada dan menerima setiap sahabat kita seadanya, saling memperingatkan, walau kita "fastabiqul khairat", mudah-mudahan ada persaingan sihat.. dan last sekali …outing kat charcoal chicken dengan geng rumah dua minggu sekali, hehe.." Zuraida menyambung.

"Lillahi ta’ala!" Zuraida dan Hayati menyebut kalimah "kerana Allah ta’ala" serentak. Mereka tersenyum sesama sendiri.

"Jom makan aiskrim ni dah cair!!" Zuraida menyogok sesudu aiskrim kepada Hayati.
"Hehe.." Hayati tergelak kecil.
"Er… kita nak tido mana ye malam ni?" Zuraida bertanya.
"Hehe.. tak pe, kita tido kat bilik kita yang best tu lah… Sufiah tido kat umah Huda, insya-Allah" jawab Hayati. Zuraida terbayang Sufiah bersama kereta merahnya menuju ke rumah Huda. Sufiah memang seorang sahabat yang "sporting" dan lucu.

Kedua-dua sahabat itu tersenyum. Moga Allah memberkati persahabatan mereka, dan meneguhkan hati-hati mereka di atas jalan dakwah hingga bertemu denganNya. Itulah doa mereka berdua.

September 2, 2011

Hakikat Hati




Alia masih setia berada di sisi kubur ibubapanya,Abang dan kakaknya pulang awal pagi itu. Setiap pagi raya dia dan adik-beradiknya yang lain sudah menjadi kebiasaan untuk melawat pusara kedua ibu bapanya. Bukan tidak selalu melawat pusara ibubapanya,tetapi hari ini dia berasa perasaan yang cukup berlainan. Dia terlalu rindu pada kedua ibubapanya,terlalu rindu sehinggakan dirinya merintih pada Illahi.

“Ya Allah,aku rindu pada ibu dan ayahku.Terlalu rindu ya Allah.Sehingga hari ini aku tak kuat untuk menghadapi kenyataan ini.Aku hamba yang lemah ya Allah.Bantulah aku,hiburkan lah aku ya Allah” Rintih Alia.Air mata laju mengalir di pipinya.

Hatinya cukup pilu ketika itu. Dia mahukan dakapan mesra dan hangat dari kedua ibu bapanya. Dia rindu dengan ungkapan sayang dari kedua ibubapanya. Dia rindu pada pujukan ibunya dikala dia sedih. Dia rindu kata-kata semangat dari ayahnya,ketika dia berputus asa dalam kehidupan. Alia rindu segala-galanya.

Tiba-tiba dirinya didakap abangya yang dari tadi memerhatikannya dari jauh. Abangnya memeluk dengan penuh perasaan. Nizam mengusap-usap kepala adiknya itu. Dia tidak mahu menangis,dia mesti tabah. Dia abang,dia mesti menunjukkan ketabahannya agar adiknya dapat menjadikannya sebagai teladan. Nizam melepaskan dakapannya,dia memanggil nama Alia.


“Alia …” Alia memandang abangnya. Panggilan abangnya persis suara ayah. Air matanya masih mengalir,namun dia cuba tabah.


“Jangan menangis dik,tangisan tidak dapat memberi apa-apa kepada ayah dan ibu. Di alam barzakh sana,ayah dan ibu hanya perlukan doa darimu dik. Jangan kau lupa pesan nabi dik.:
Ada 3 perkara yang akan menjadi manfaat kepada si mati;ilmu yang dimanfaatkan,harta yang digunakan pada jalan Allah dan doa dari anak yang soleh.


Alia mengesat air matanya,kemudian dia mengalihkan pandagannya ke pusara ayah dan ibunya. Dia anak bongsu daripada 6 adik-beradik. Setiap kali cuti semester dia tidak akan sabat-sabar untuk pulang ke rumah. Namun seminggu sebelum kedua ibu bapanya meninggal,ayahnya sering bercerita tentang mati setiap kali selesai solat berjamaah. Memang rutin setiap kali selesai solat,ayahnya pasti akan memberi sedikit tazkirah untuk keluarga,namun hari itu berlainan sedikit.


“Hidup ini tidak akan kekal Alia,setiap manusia akan menghadapi kematian. Allah dah berjanji akan perkara ini sejak nabi telah diutuskan lagi. Kata Allah:

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.[1]

Namun Allah itu maha penyayang Alia. Allah itu sentiasa mahu membahagiakan hamba-Nya yang taat. Orang yang taat kepada-Nya,Allah akan berikan ganjaran Syurga dan tidak akan sesekali bau dan merasai kehangatan api neraka. Kata Allah:

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung[2]


Suara ayah masih terngiang-ngiang di kotak mindanya,air mata Alia mengalir semula,dia rindukan nasihat-nasihat ayah. Nizam mengesat air mata Alia,dia tidak mahu adiknya terus berada dalam kesedihan.


“Masing-masing telah ditentukan ajalnya dik. kata Allah:

“masing-masing ajal itu telah ditetapkan”[3]

Dan Ajal itu sendiri tidak akan menunggu kita, kalau masa itu sudah tiba untuk kita kembali kepada Allah pasti kita akan mati dik. Ingat tak apa yang ayah bacakan untuk kita masa tu.” Tanya Abangnya kepada Alia. Alia menganguk kepala tanda dia masih lagi mengingati pesanan ayah. Dia terkesan dengan kata-kata abangya. Persis seperti ayah,kata Alia dalam hati.


“Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya[4]. Itulah yang ayah bacakan untuk kita selama ini, tidak pernah ayah lupa untuk titipkan pada kita dik,” sambung Nizam pada Alia perlahan.

Alia menganguk perlahan, sambil membetulkan cermin matanya.

“Along macam ayah” Alia memeluk abangnya,Nizam membalasnya .Nizam tahu adiknya sudah boleh mula untuk menerima kenyataan ini.

“Erm..ok,kita balik rumah jom.Nanti yang lain-lain risau pula kita lambat balik.Hari pun macam nak hujan je ni.”Ajak Nizam untuk berangkat pulang pada adiknya.







“Along tak tidur lagi ke?”Sapa Alia pada Nizam.

“Eh adik,belum lagi,saja nak ambik angin kat luar ni.Adik tu,naper tak tido lagi?” Soal Nizam sementara tanganya memegang album gambar keluarga.

Sebagai seorang insan yang punyai perasaan,dia juga tak boleh lari dengan perasaan rindu pada kedua ibubapanya. Sepatutnya,malam ini dia akan berkumpul satu keluarga di halaman luar ini. Masing-masing akan menceritakan perihal masing-masing,ada yang lucu dan ada yang sedih. Itulah waktu yang paling membahagiakan dia sekeluarga. Namun kini ia tinggal kenangan,kenangan yang dia akan ingat selama-lamanya.

Alia mendekati Alongnya kemudian duduk di sebelahnya. Dia memegang tangan along kemudian dia dekatkan di dadanya. Alia selalu lakukan hal itu pada ibunya ketika masih hidup.

“Along,adik nak tanya boleh tak? Soal Alia.

“Apa dia dik?” Alia melepaskan tanggan alongnya.Dia seolah-olah mengumpul kekuatan.Kekuatan untuk menyuarakan soalan dia pada Nizam.


“Kita tahu ke bila,dan di mana kita akan mati along?” Soal Alia semangat,dari dulu dia mahu menanyakan hal itu. Baru sekarang dia mempunyai peluang untuk bertanya. Nizam hanya senyum dan kemudian dia meletakkan album tadi di atas meja. Nizam merenung anak mata adik kesayangannya. Betapa sayangnya dia pada Alia,dia sanggup pertaruhkan nyawa demi Alia.


“Tak boleh dik…Kita tak mampu untuk mengetahui hal itu.Itu rahsia Allah dik,Dia-lah yang akan menentukannya.Hamba tidak ada kuasa untuk menentukan.Kan Allah dah kata:

Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal[5].

“Kita hanya perlu bersedia untuk hari itu adik. Tak usah adik fikirkan dimana,bila dan bagaimana adik akan mati,tetapi cukuplah ia sebagai peringatan untuk adik. Kerana mengingat mati adalah satu penawar[6].Allah juga kata:

(Allah)Mewafatkan seseorang apabila sudah sampai masa matinya[7]


Nizam mengakhiri kata-katanya sambil dia menepuk-nepuk belakang tangan Alia. Alia mengangguk perlahan tanda dia berpuas hati dan faham apa yang dikatakan Alongnya. Dia memeluk alongnya untuk kesekian kali. Sambil air matanya terus deras mengalir,fitrah seorang wanita yang mudah tersentuh. Alia sedar,walaupun kedua orang tuanya sudah pergi meninggalkanya. Namun dia masih beruntung; kerana adik-beradiknya masih setia disisi,setia mendengar luahan,aduan dan sedia untuk memberikan dia kasih sayang. Akhirnya air mata Alia berhenti,Alia lena di bahu Alongnya…


“Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, sesungguhnya bumi-Ku luas, maka sembahlah Aku saja. Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan”[8].




[1] Surah Al-Anbia:35

[2] Al-Imran :185

[3] Surah Ar-rad:38

[4] Surah Al-A’raf:34

[5] Surah Luqman:34

[6] Sepertimana dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi: “Perbanyakanlah olehmu mengingat penawat kelazatan…iaitu mati”.

[7] Surah Az-Zumar:42

[8] Surah Al-Kanbut :56-57

August 30, 2011

Salji Aidilfitri




"RAYA ni saya balik. Ya... saya balik... mak tunggu. Lagi empat hari... ya… mak... mak… isshhh!”

Sayup-sayup Ann mendengar suara emak menjawab ya. Tapi, Ann hanya mendengar emak menyebut ya berkali-kali dan selebihnya, Ann tidak mendengar apa-apa lagi. Talian jadi sangat bising tiba-tiba dan akhirnya terputus.

Ann mendongak ke langit. Ada helikopter palang merah antarabangsa merentasi awan, mengganggu transmisi. Telefon satelit Ann genggam kuat, hati marah benar. Sukarnya untuk berhubung pada waktu-waktu begini.

Ann mengatur langkah masuk ke bangunan tiga tingkat di tengah Tashkent. Bangunan ini menjadi ibu pejabat Pertubuhan Islam Antarabangsa. Tingkat satu menjadi lokasi memberi bantuan perubatan dan makanan, tingkat dua menjadi gudang menyimpan stok makanan dan ubat-ubatan dan tingkat tiga menampung lebih 20 sukarelawan.

Bilik Ann di tingkat tiga paling kanan. Di tepinya ada pokok tua yang agam. Pokoknya sudah kehilangan daun dan dibalut putih salji yang tebal.

Ya, salji tebal sejak semalam. Musim dingin ini baru bermula. Namun, sudah dua kali Ann tidak dapat lena kerana ribut salji. Kalau dibanding taufan Ike atau Katrina, ribut salji yang ini bukanlah apa-apa. Sekurang-kurangnya, pihak kaji cuaca belum mengisytiharkan darurat.


Gambar hiasan

Namun, Ann terganggu benar dengan bunyi angin yang kuat. Ann terasa seluruh Tashkent ini seakan runtuh, seperti mana ia sudah pun runtuh selama dalam cengkaman Kesatuan Soviet.

Hari sudah cerah, sudah jam 7 pagi dan Ann masih belum bersahur. Sejak ribut salji melanda jam tiga pagi tadi, sejak Ann tersentak daripada mimpi jam tiga pagi tadi, Ann tidak boleh menyambung tidur hingga kini.

Anehnya Ann juga tidak berselera makan. Sisa sup berbuka tadi sudah dipanaskan dan roti sudah dipotong-potong kecil. Tapi Ann hanya memandang, selera tidak bangkit. Sebaliknya, ingatan menjurus-jurus pada sambal ikan bilis bercampur tempe dan acar buah yang kerap emak hidangkan waktu bersahur.

Ingatan itu rupanya membunuh selera Ann!

Kelmarin juga Ann tidak bersahur. Hanya minum segelas susu. Perut seakan masih sendat dengan makanan tradisional Uzbekistan pilav, nasi dengan daging goreng, lobak merah dan bawang merah bercampur kismis dan kacang pea yang Ann nikmati waktu berbuka puasa.

“Teruja hendak balik kampung, sampai tak nak makan,” Dr Landau, sukarelawan dari Perancis selalu mengusik. Ann sengih. Bukan dia sengaja, tetapi sungguh dia tidak berselera untuk makan.

Setiap kali mengingatkan 1 Syawal yang bakal dirai di kampung halaman, dadanya bergetar kuat menahan keterujaan. Setiap kali memandang beg pakaian yang sudah siap dikemaskan, dadanya berdebar hebat dan setiap kali mencium-cium tiket penerbangan yang akan membawanya pulang, jantungnya seakan berhenti berdegup. Gembira, dia terlalu gembira.

Malah sejak seminggu lalu, Ann bukan saja sudah mengemas pakaian yang akan dibawa pulang, tapi sudah juga mengemas gambar-gambar yang akan ditunjukkan pada saudara mara. Untuk emak, Ann sudah bungkuskan selendang panjang tenunan Uzbekistan yang cantik.

Pada perbualan minggu lalu dengan emak Ann sudah berpesan, lemang dan rendang kita bakar sama-sama malam sebelum raya. Ann mahu sama-sama menebang buluh, membersihkannya, mengukur kelapa, memerah santan, memasukkan pulut dalam buluh dan membakarnya. Ann juga ingin mengait daun kelapa, mahu menjalinkannya menjadi sarung ketupat yang cantik beranyam.

Ann tersengih sendiri. Waktu ini terasa hanya jasad saja berada di bumi Uzbekistan yang muram Ramadannya dan gersang Aidilfitrinya. Seluruh jiwa seakan sudah lama terbang menyeberang laut, kembali dalam dakapan emak.

Di luar, ada perbualan dalam bahasa Turki dan Inggeris, yang diselang seli gelak ketawa singgah di telinga. Ada bunyi ngauman enjin juga kuat memecah pagi Ann bangun meninjau.

Dari jendela Ann lihat ada sukarelawan yang memandu jentera penyodok salji, membuka jalan yang tersekat. Ada sukarelawan yang mengalihkan ranting dan dahan pokok yang bersepah kawasan persekitaran. Ann menyentap baju panas dalam almari dan turun menyertai mereka.

Tashkent selepas bebas daripada Kesatuan Soviet bukanlah seindah dijangka. Walaupun sudah merdeka, kerana terlalu lama dicengkam komunisme, menjadikan bukan saja Tashkent, tetapi seluruh Uzbekistan ini jauh daripada penghayatan dan kefahaman tentang Islam.

“Kamu ini aneh, orang mahu kerja pejabat hawa dingin dan gaji ribuan ringgit, kamu hendak jadi sukarelawan,”

Ya, waktu kawan-kawan sekursus memilih menjadi ahli ekonomi atau berkhidmat di bank-bank perdagangan sebaik tamat pengajian, Ann memilih ke Tashkent. Seluruh keluarga menjerit membantah, malah kekasih hati yang berjanji sehidup semati juga meninggalkan Ann kerana Ann mahu ke Tashkent.

Namun, waktu orang lain tidak pun memberi sokongan, emak mewajarkan pilihan Ann menyumbang bakti di Uzbekistan.

“Siapa lagi yang mahu memulihkan jati diri saudara seagama kalau bukan kita sendiri? Mahu terus Uzbekistan hanyut? Sudah lama dicengkam Soviet, sekarang sudah merdeka, apa salah kita tolong? Tak banyak, sikit pun, sekadar ajar anak-anak mereka mengenal huruf alif, ba dan ta, dan mengakui Tuhan itu satu pun, sudah bermakna,”

“Tapi emak, Ann itu perempuan. Ha, kau hendak pergi berapa tahun? Sanggup kau tinggalkan emak sendiri? Nanti sanggup kau hendak berhari raya dengan orang Uzbekistan. Menangislah seorang diri. Elok-elok duduk di Malaysia, hendak pergi negara lepas perang,” abang tidak penat melemahkan semangat.

Ann masih ingat renungan mata emak tepat dalam mata bundar abang. Merenung mata itu, Ann dapat menyingkap seluruh amarah yang emak simpan.

“Emak boleh membesarkan kamu semua sendirian selepas ayah kamu meninggal waktu Ann dalam pantang. Emak masih boleh hidup tenang dan kuat. Adakah kamu fikir Ann tidak mewarisi kekuatan emak? Lagi pun, Aidilfitri itu akan lebih bermakna, jika kita bijak memaknakannya, tidak kira kita di mana,”

Abang dan kakak terdiam. Abang ipar dan kakak ipar tergamam. Walau mereka mengomel di belakang, Ann berangkat juga ke Tashkent, dua bulan selepas itu atas restu emak.

Dan, jangkaan emak benar-benar menyambut Ann di Tashkent. Jangkaan tentang Islam yang suram di Uzbekistan. Jangkaan tentang Islam yang kurang penghayatannya di negara Asia Tengah itu.

Sejak kecil, emak sangat terpesona dengan kisah Laluan Sutera yang merentas Uzbekistan di Tashkent, Bukhara dan Samarkand. Kata emak, kegemilangan Islam di Uzbekistan dulu, dalam kelas tersendiri. Di situ, lahirnya dua tokoh Islam masyhur, al-Khawarizmi dan Abu Rayan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni.

Namun, semua kegemilangan Uzbekistan itu terpadam sebaik dicengkam kuat Kesatuan Soviet. Masyarakat mengenal al- Khawarizmi dan al-Biruni tanpa mengenal Uzbekistan. Ann seakan-akan terdengar emak bercerita. Emak, seorang guru sejarah tingkatan enam di sekolah berhampiran rumah.

Lalu, ketika Ann melahirkan hasrat menyertai Pertubuhan Islam Antarabangsa sebagai sukarelawan di Tashkent, Uzbekistan, emak mewajarkan walau hampir seluruh keluarga membangkang. Kata emak, walau tubuhnya tidak sampai ke Tashkent, jiwa emak sudah ada di sana melalui kamu, kamu Ann.

Lalu Ann tahu, pemergian ke Tashkent sebenarnya bukan saja membawa dirinya sendiri dan amanat seluruh umat Islam yang mahu melihat Uzbekistan bangun dan menghidupkan kembali kegemilangan lalunya, tetapi jua membawa hasrat dan jiwa emak yang terlalu lama berahi pada sejarah kehebatan Uzbekistan.

Sejarah Asia Tengah di bawah Kesatuan Soviet adalah sejarah penuh eksploitasi, kerap emak mengulang-ulang ayat itu. Malah seingat Ann, emak pernah bercerita, Stalin yang takut dengan kuasa minoriti di Kesatuan Soviet menghimpunkan pelbagai etnik di Uzbekistan untuk melemahkan dan menekan populasi asal. Stalin juga mahu Uzbekistan bergantung secara ekonominya dengan Russia.

Ann menghirup udara Tashkent sebaik saja Uzbekistan bebas daripada Kesatuan Soviet. Awalnya, Ann tidak tahu apa-apa tentang Uzbekistan. Ann hanya tahu tentang Uzbekistan daripada kisah-kisah yang emak khabarkan dan serba sedikit pembacaan. Justeru, Ann kurang bijak meneka percaturan politik di Uzbekistan. Seingat Ann, dia ada menulis surat kepada emak tiga bulan selepas sampai di Tashkent.

Mak,

Saya tidak faham percaturan politik di sini. Waktu kita berlumba-lumba datang menabur bakti di negaranya, mereka berlumba-lumba pula menjadi hero.

Selepas bebas daripada Kesatuan Soviet, Uzbekistan menggubal perundangan baru, tetapi mengharamkan parti pembangkang utamanya, Birlik. Bebas daripada kesatuan Soviet juga tidak bermakna mereka bersatu hati, sebaliknya semakin banyak pula siri keganasan pada kumpulan yang dituduh pelampau Islam.

Mungkin 70 tahun dicengkam komunisme, mereka gagal membezakan antara agama dan budaya. Jadi, semua penganut Islam yang mahu kembali pada amalan agama, bertudung, menyimpan jambang dan berjubah itu dianggap pelampau agama.

Tapi surat itu tidak emak balas, entah mengapa.

Salji tebal di hadapan bangunan sudah habis disodok. Beberapa sukarelawan bersiap dengan pikap, bersedia untuk masuk ke kampung-kampung kecil di utara Tashkent. Malam ini mereka mahu berkampung di sana, berbuka puasa dengan penduduknya dan bersolat tarawih. Ann juga akan mengikut.

Tiga tahun di Tashkent, sudah tiga Aidilfitri Ann raikan di sini. Aidilfitri yang gersang dan suram. Cukuplah, tahun ini, Ann akan pulang. Ann tidak rela meraikan Aidilfitri tanpa perasaan. Perasaan kasih dan sayang sesama insan. Ann akan pulang empat hari lagi sebenarnya. Aidilfitri bakal menjelang 1 Oktober nanti, Ann akan pulang 29 September nanti.

Tidak sabar rasanya mahu menikmati lemang dan rendang. Tidak sabar rasanya mencium tangan emak. Terbayang-bayang Kuala Lumpur, terasa-rasa hentakan punggung di kerusi pesawat waktu kapal terbang mendarat. Ann tersengih pada setiap ingatan-ingatan itu. Oh... Tashkent... aku tidak rindu padamu Aidilfitri nanti, Ann tersengih sendiri.

Di sini, Aidilfitri dan Ramadan seakan tiada maknanya. Pada mereka, ia hanya sahur, berbuka puasa dan solat sunat Aidilfitri. Tiada kunjung mengunjung tiada maaf bermaafan. Semuanya kering dan kontang. Tiada rasa dan waktu-waktu begitu, tiba-tiba Ann jadi terlalu nostalgia dan melankolik pula, teringat beratur panjang, menanti giliran mencium tangan emak di pagi Aidilfitri.

Ann masih ingat Aidilfitri pertama di sini, solat sunat raya berlangsung sebaik selesai solat Subuh kerana kebanyakan mereka pengikut mazhab Hanafi. Ann terkejut dan tentunya nyaris terlepas kenikmatan solat sunat raya!

“Kami meraikan Navrus pada 1 Januari, musim bunga pertama bukan Aidilfitri,” kata-kata itu datang daripada seorang warga tempatan, Ana Karimov.

Ann meminjamkan telinga untuk Ana Karimov bercerita tentang keistimewaan Navrus. Ann tidak berminat untuk berdebat mengenai keistimewaan Aidilfitri dengannya. Biarlah, dia masih terlalu hijau dalam mengenal keistimewaan Ramadan dan Syawal. Ann maafkan dia, atas alasan terkurung selama 70 tahun dalam Soviet.

Kenderaan pikap yang akan membawa Ann dan enam sukarelawan yang lain ke utara Tashkent sudah penuh dengan muatan. Tapi waktu hendak bertolak, angin bertiup dengan kencang.

“Ribut salji!,” Ann panik.

1 Oktober

Mak,

Selepas tiga tahun tidak pulang raya bersama dan kali ini saya gagal lagi untuk menunaikan janji. Ketahuilah mak hati saya tidak pernah tenang. Doa saya untuk mengucup tangan emak pada pagi Aidilfitri tidak tertunai jua.

Seperti emak kata, Tuhan berikan apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu. Saya terima semuanya mak, walau dalam linang air mata.

Penerbangan keluar masuk di Lapangan Terbang Tashkent dibatalkan sejak dua hari lalu. Kata mereka mungkin dalam tiga atau empat hari nanti ia akan pulih. Apabila sudah terlalu lama berada dalam dakap Soviet, waktu-waktu nanar begini, mencari-cari jalan keluar sendiri, memang memakan masa. Saya maafkan mereka kerana ribut salji ini kehendak Tuhan jua adanya. Walaupun saya masih terkial-kial memaafkan diri sendiri kerana gagal mengotakan janji bersama emak pada Aidilfitri.

Sejak, dua hari lalu ribut salji belum berhenti. Malah anginnya makin kencang, melebihi dua kali ganda taufan.

Mak, saya tidak tahu bilakah surat ini akan tiba ke pangkuan emak. Saya hanya menulis dan menulis meluahkan seluruh gundah dan segala resah. Buat masa ini, sistem pengangkutan dan komunikasi di Tashkent lumpuh sama sekali. Bekalan elektrik sudah dua hari terputus. Salji tebal di Tashkent sudah menjadi ais setebal dua meter.

Kelmarin perintah berkurung dan darurat diisytiharkan. Tetapi saya dan beberapa sukarelawan lain mengikut pasukan tentera memberi pertolongan kepada penduduk di kawasan pedalaman .

Waktu-waktu sukar begini, saya menyaksikan sudah ramai yang tahu untung nasib perlu diadukan kepada Allah yang berkuasa. Saya melihat darurat dan perintah berkurung tidak menghalang mereka membanjiri masjid dan muazin melaungkan azan.

Waktu takbir bergema di langit Tashkent yang diserkup salji, saya terasa satu kenikmatan yang sukar diceritakan dengan kata-kata menusuk dalam hati. Ia sangat indah, melebihi keindahan percikan warna warni bunga api yang menghias gelap langit. Ia kemudiannya bagai api, memanaskan hati setiap warga Tashkent, mencairkan perasaan yang beku lewat makna Aidilfitri.

Untuk pertama kalinya emak, saya terasa sangat teruja solat sunat Aidilfitri sebaik tamat solat Subuh. Sejuk yang menikam, salji yang tebal, angin yang kencang tidak sedikitpun mematahkan semangat Muslim di sini berhari raya.

Terkurung dalam masjid sementara menanti kenderaan tentera membawa kami pulang ke kediaman masing-masing. Kami sempat bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Kami sempat berdakapan sesama Muslimah, menangisi pemergian Ramadan. Kami sempat menjamah roti, sup dan pilav.

Entah mengapa kali ini saya merasakan Aidilfitri di Tashkent sungguh menyentuh hati. Ia membakar seluruh kerinduan saya pada kampung halaman. Walau langit Tashkent mendung dan buminya tebal bersalji, ada magis dalam setiap hati kami. Seperti emak percaya, saya juga kini percaya, Aidilfitri itu akan lebih bermakna jika kita bijak memaknakannya.

Emak, terima kasih kerana mewajarkan saya ke sini, empat tahun lalu.





Karya: Hafizah Iszahanid
Sumber:iluvislam.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...