Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang adalah dua orang puteri dewa kayangan yang mempunyai paras rupa dan kecantikan yang tiada tolok bandingnya ketika itu. Sesiapa sahaja yang memandang pasti akan terpikat. Paras kedua-dua puteri anak dewa dari kayangan itu bagaikan purnama menghias alam, bersinar-sinar bergemerlapan. Alis mata, yang lentik dan ekor mata seperti seroja biru di kolam madu.
Walaupun ketinggian tubuh mereka hanyalah sederhana tetapi suara mereka cukup merdu seperti seruling bambu. Inilah kelebihan yang terdapat pada Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang. Kehidupan Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang amat mesra sekali. Mereka diibaratkan adik-beradik kembar. Senyuman dan kegembiraan sentiasa bermain dibibir. Bergurau dan bersenda tidak lekang daripada keduanya. Mereka sentiasa sepakat dan sekata. Demikianlah kehidupan yang mereka lalui setiap hari.
“Sejinjang, lepas seleseia molah kerja kita duak tok, kita bermain-main, maok sik?” Tanya Puteri Santubong kepada Puteri Sejenjang yang asyik menumbuk padi.
“Aoklah. Tapi kita maok main apa?” balas Puteri Sejenjang.
“Kita main tapok-tapok rah taman bunga rah halaman sinun. Lekak ya kita petik bunga-bunga nak dah mekar rah taman.”
“Aoklah Santubong! Udah lamak juak kita sik metik bunga-bunga rah taman ya.”
Menantikan saat itu, kedua-duanya meneruskan pekerjaan masing-masing hingga selesai.
Pekerjaan Puteri Santubong dari siang hingga malam hanyalah menenun kain. Manakala Puteri Sejenjang pula asyik dengan menumbuk padi.
Pada suatu hari, ketika Puteri Santubong leka menenun kain dan Puteri Sejenjang asyik menumbuk padi, berbual-buallah mereka tentang kecantikan diri masing-masing. Mereka memuji-muji tentang kelebihan diri sendiri.
“Sejinjang! Kitak nangga sik dirik kamek nak serba sik cacat to!k Dengan duduk menenun kedak tok, kamek dapat menjaga kerampingan pinggang kamek tok. Kamek pasti suatu hari kelak, bila anak raja sampai ke sitok, nya akan melamar dan mengahwini kamek. Aduh! Betapa bahagianya saat ya, Sejinjang?” Tanya Santubong kepada Sejenjang yang asyik menumbuk padi.
Puteri Santubong terus memuji-muji akan kecantikan dirinya. “Bila kamek udah diam rah istana kelak, mesti sidak dayang mengelilingi kamek, sambil menyikat-nyikat rambut kamek nak mengurai tok. Kelak sidak akan madah, toklah anak dewa kayangan yang paling cantik pernah sidak nemu. Saat ya kameklah tuan puteri yang paling cantik rah dunia tok.”
Puteri Sejenjang yang asyik menumbuk padi mulai merasa marah dan cuba menentang kata-kata Puteri Santubong yang menganggap dirinya sahajalah yang paling cantik. Puteri Sejenjang menyatakan dirinya yang paling cantik dan rupawan. Kecantikannya mengalahi paras rupa Puteri Santubong.
“Sikkah kitak tauk Santubong? Dengan cara berdiri menumbuk padi camtok menjadikan tubuh kamek tok , kuat dan tegap. Subur menawan. Leher pun jinjang. Betis bagaikan bunting padi.”
“Dengan menumbuk padi to kjuak jari-jemariku halus dan lengan kamek tok terasa tegap daripada kitak nak asyik bongkok menenun kain. Entah nanti, kitak cepat gik rebah ke bumi. Takut anak raja ya melamar kamek dolok,” balas Puteri Sejenjang.
Mendengar kata-kata Puteri Sejenjang, Puteri Santubong enggan mengalah. Puteri Sejenjang juga pantang menyerah. Masing-masing mahu dipuji. Akhirnya, pertengkaran antara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang semakin hangat. Masing-masing tidak dapat mengawal perasaan mereka lagi. Pertengkaran antara keduanya berlarutan.
Daripada nada suara yang rendah bertukar menjadi lantang sambil mencaci-caci dan menghina antara satu dengan yang lain.
“Sejinjang! Mun asyik megang antan, iboh harap betis kitak ya akan jadi bunting padi. Takut lemak sik berisi. Gara-gara antan ya juaklah jari-jemari kitak ya, kesat dan kasar. Sik seperti jari-jemari kamek tok nak halus dan runcing,” kata Puteri Santubong dengan bangga.
Dengan perasaan penuh dendam dan dengan amat marah, Puteri Sejenjang hilang sabar lalu menyerang Puteri Santubong dengan antan di tangan. Ayunan pukulan Puteri Sejenjang amat kuat dan cepat, lalu terkenalah ke pipi Puteri Santubong yang sedang duduk menenun kain. Menjeritlah Puteri Santubong kerana kesakitan. Puteri Santubong bertambah marah. Puteri Santubong juga tidak berdiam diri, lantas menikam Puteri Sejenjang dengan batang belidah yang ada dalam genggamannya. Tikaman itu tepat ke arah kepala Puteri Sejenjang dan menembusinya. Maka menjeritlah pula Puteri Sejenjang sekuat-kuatnya akibat kesakitan tikaman tersebut. Berakhirlah sebuah persahabatan dan persaudaraan yang telah dijalin oleh mereka selama ini.
Kononnya akibat pergaduhan dan ayunan antan puteri Sejenjang yang terkena ke pipi Puteri Santubong menyebabkan Gunung Santubong telah terpecah menjadi dua seperti yang dilihat pada hari ini. Demikian juga dengan tikaman batang belidah oleh Puteri Santubong yang mengenai tepat ke kepala Puteri Sejenjang, menyebabkan Bukit Sejenjang pecah bertaburan menjadi pulau-ulau kecil berhampiran Gunung Santubong.
Kisah sedih di antara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang akhirnya menjadi kenangan dan ingatan rakyat Sarawak. Maka lahirlah lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang yang kita dengar sehingga ke hari ini.
1 comment:
btol ka cta tk wan?
Post a Comment